Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia M'sia ambil tindakan iklan jualan semula Konsert Coldplay di media sosial

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Malaysia telah diarah untuk mengambil tindakan berkaitan iklan jualan semula tiket konsert Coldplay di media sosial, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Ditemui wartawan selepas program Jom Baca Bersama 10 Minit di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada Khamis (18 Mei), beliau berkata wujud aktiviti penipuan jualan tiket konsert berkenaan di media sosial dan MCMC akan meminta pengendali platform berkenaan menurunkan hantaran tersebut.

“Kalau dikesan kita akan bawa (scammer) ke muka pengadilan dan hantaran (jualan tiket) jika masih berada di platform akan diambil tindakan bersesuaian,” katanya.

Tular di media sosial mengenai kewujudan akaun-akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay namun ia dikatakan dikendalikan oleh ‘scammers’.

Selain itu, wujud tindakan menjual semula tiket konsert kumpulan itu dengan harga hingga mencecah RM43,200 (S$12,800) hingga mengundang kecaman orang ramai.

Mengenai tindakan menjual semula tiket Coldplay dengan harga mahal oleh ulat tiket, Encik Fahmi berkata beliau telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melakukan pemantauan mengenai perkara itu kerana ia dibawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

“Saya lihat (jualan semula tiket) agak keterlaluan," katanya dan menambah isu ulat tiket itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Encik Fahmi turut menasihati orang ramai agar membeli tiket konsert Coldplay melalui sumber yang sah bagi mengelak menjadi mangsa ulat tiket dan penipu.

“Kerajaan pandang serius isu (ulat tiket) ini dan kita kena kekang dan teliti apa undang-undang dan peraturan yang boleh diguna.

“Saya ingatkan kalau ingin beli… belilah daripada sumber sah agar tidak ditipu dan kalau beli tetapi tidak dapat tiket. Buat laporan polis untuk mereka ambil tindakan,” katanya.

Coldplay, kumpulan muzik terkemuka dunia, menjayakan konsert dalam siri jelajah Music Of The Spheres World Tour mereka di Malaysia pada November ini.

Ini merupakan konsert julung kalinya dipersembahkan kumpulan muzik dari Britian itu di Malaysia, yang dijadualkan pada 22 Nov ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Coldplay dilapor memulakan siri jelajah mereka pada Mac di Costa Rica, sebelum meneruskan persembahan yang dijadualkan di Tokyo, Kaohsiung (Taiwan), Jakarta dan Perth, selain Kuala Lumpur pada November ini.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan