Suri rumah usaha pati limau kasturi jana pendapatan
Minat terhadap aktiviti bercucuk tanam sejak kecil mendorong seorang suri rumah untuk mengusahakan tanaman limau kasturi seluas 0.4 hektar di Kampung Santan.
(Gambar: Bernama)
KANGAR: Minat terhadap aktiviti bercucuk tanam sejak kecil mendorong seorang suri rumah untuk mengusahakan tanaman limau kasturi seluas 0.4 hektar di Kampung Santan.
Cik Wan Mastura Megat, 34 tahun, berkata beliau mula mengusahakan tanaman itu sejak 2016 dan kini mempunyai 200 pokok.
“Sebelum ini saya hanya menjual buah di pasar borong namun disebabkan buah terlampau banyak hingga mencecah satu tan sebulan, saya cuba hasilkan pati limau kasturi bagi mengelak pembaziran apabila buah bertukar menjadi warna kuning (masak ranum).
“Saya tidak sangka berjaya mendapat sambutan luar biasa khususnya dari kaum wanita yang gemar minum pati limau kasturi untuk kesihatan dan kecantikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Katanya lagi, dalam jangka masa kurang sebulan sebanyak 400 botol pati limau kasturi berjaya dijual pada harga RM6 (S$2) sebotol.
Cik Wan Mastura berkata, selain pasaran di sekitar negeri Perlis, pati limau kasturinya turut menerima permintaan pelanggan dari Kuala Lumpur dan bercadang untuk memberi fokus kepada penghasilan pati limau kasturi kerana lebih menguntungkan.
“Pati ini kami hasilkan tanpa tambahan air mahupun bahan pengawet dan ia bagus untuk kesihatan kerana buah limau kasturi mengandungi vitamin C yang tinggi,” katanya.
Cik Wan Mastura berkata dia bersedia untuk berkongsi ilmu dan nasihat kepada mereka yang ingin mencuba tanaman limau kasturi kerana ia mudah dijaga, berbuah sepanjang tahun dan tidak memerlukan kos tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.