Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suri rumah dipenjara kerana hina Nabi Muhammad

Tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda RM15,000 yang dikenakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Suri rumah dipenjara kerana hina Nabi Muhammad

Tham Yut Mooi dihukum penjara enam bulan dan didenda RM15,000. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 Dec 2017 02:11PM Dikemas Kini : 15 Dec 2017 05:45PM

IPOH: Seorang suri rumah dipenjara enam bulan dan didenda RM15,000 (S$4,940) oleh Mahkamah Majistret di Perak hari ini (15 Dis) setelah didapati bersalah mengeluarkan kata-kata yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Majistret Siti Hanum Mohmad Sah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda RM15,000 yang dikenakan.

Semasa menjatuhkan hukuman itu, Majistret Siti Hanum mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Tham Yut Mooi, 46 tahun, didapati bersalah melakukan kesalahan itu di ruang solat Masjid Abu Ubaidah, Jalan Perpaduan, Taman Perpaduan Ulu Kinta di sini kira-kira pukul 5.30 petang, 4 Mei 2016.

Berdasarkan tiga kertas pertuduhan, suri rumah itu dituduh mengeluarkan kata-kata menghina Nabi Muhammad di masjid berkenaan yang didengar oleh Mohd Halim Buyong, 44 tahun, Abdul Rahim Mat Diah, 53 tahun, dan Mohd Yunos Harun, 73 tahun, dengan niat untuk melukakan perasaan keagamaan individu berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Chiang Woei Chien.

Terdahulu, Encik Fadhli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius, membabitkan sensitiviti agama, mempunyai kepentingan awam dan hukuman perlu dijadikan pengajaran kepada sesiapa pun.

Encik Chiang sebaliknya memohon hukuman diringankan kerana suri rumah itu mempunyai dua anak dan ibu bapa yang perlu ditanggung.

Mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga selesai rayuan tetapi tertuduh perlu membayar jaminan RM5,000 (S$1,650) dengan seorang penjamin serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah. 

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan