Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suri rumah didakwa jual 2 bayi

Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari in (19 Apr) atas dua pertuduhan memperdagangkan dua bayi warga tempatan pada Februari lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Suri rumah didakwa jual 2 bayi

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 19 Apr 2019 02:56PM Dikemas Kini : 19 Apr 2019 02:58PM

KLANG: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari in (19 Apr) atas dua pertuduhan memperdagangkan dua bayi warga tempatan pada Februari lepas.

Tertuduh, Nik Rahimah Nik Mohd Nawi, 58 tahun, mengangguk faham namun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Nik Rahimah didakwa memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia 15 hari berhampiran Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Selayang di Bandar Baru Selayang, kira-kira jam 10.00 pagi, 8 Feb lepas.

Ibu kepada empat orang anak itu juga didakwa memperdagangkan seorang bayi lelaki berusia tiga hari di tempat letak kereta Balai Polis Batu Arang, kira-kira jam 8.40 malam pada 23 Feb lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun atau sehingga 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Safarizal Zakaria yang mengendalikan pendakwaan menyarankan supaya kedua-dua pertuduhan ke atas wanita itu dibicarakan bersama kerana modus operandi dan saksi adalah lebih kurang sama walaupun mangsa berbeza.

Encik Mohammad Safarizal juga tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh atas alasan kesalahan wanita itu serius dan kesnya berkepentingan awam.

"Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh, saya memohon suatu jumlah yang tinggi selain syarat yang ketat iaitu dia perlu melaporkan diri di balai polis sekali sebulan dan tidak mengganggu saksi-saksi,” katanya.

Peguam bela tertuduh, Encik Razi Abdul Razak memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM2,000 (S$651) kerana penjamin wanita berkenaan iaitu suaminya, hanya bekerja sebagai seorang peniaga yang berpendapatan sekitar RM1,500 (S$489) sebulan dan perlu menyara dua daripada empat anak mereka.

Cik Roszianayati kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM12,000 (S$3,900) untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin selain memerintahkan wanita itu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap sebulan sekali dan melarang tertuduh menghubungi atau menganggu para saksi.

Mahkamah menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan.

Pada 28 Mac lepas, media melaporkan seorang wanita tempatan dipercayai pengendali pusat jagaan gadis terlanjur di Rawang, ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terlibat dengan sindiket penjualan bayi. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan