Suri rumah di Malaysia ini hasilkan beg daripada permaidani jana pendapatan
Gambar: Agensi berita
KOTA BHARU: Kreativiti seorang suri rumah dari sebuah kampung di kota Bahru, Kelantan berjaya menghasilkan beg tote pelbagai corak menarik dan berwarna-warni dengan menggunakan permaidani.
Suriati Mohd Noor, 55 tahun, berkata, beg yang dihasilkan menggunakan permaidani biasa dan permaidani berbulu itu sangat laris ketika Ramadan kerana digunakan untuk meletakkan telekung ketika ke masjid untuk solat tarawih.
“Kebiasaan beg akan cepat terkopak dan tercabut pada bahagian tali. Jadi, dengan menggunakan kemahiran asas menjahit yang ada, saya cuba menghasilkan beg daripada permaidani yang lebih tahan lasak.
"Tidak sangka mendapat sambutan hangat lebih-lebih lagi ketika bulan puasa sebab ramai yang ke masjid untuk solat tarawih,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad (16 Mac).
Ibu 10 cahaya mata itu berkata, dalam sehari, beliau mampu menjahit satu hingga dua beg dengan menggunakan benang nilon yang lebih mahal berbanding benang jenis biasa bagi memastikan jahitan beg tersebut tahan lama.
“Pada hari-hari biasa, saya dapat menjual lima hingga enam beg dalam sehari manakala pada Ramadan jualan boleh mencapai 10 beg setiap hari dan akan semakin banyak menjelang Aidilfitri.
“Selain berbulu, beg ini juga terdapat dalam pelbagai corak termasuk flora, abstrak dan batik serta pelbagai saiz boleh didapati hingga mampu memuatkan pakaian untuk dibawa ke mana-mana,” katanya, dipetik daripada Sinar Harian.
Tambah Cik Suriati, beliau juga menghasilkan dompet dan beg dengan tali yang lebih panjang mengikut kehendak pelanggan.
Katanya, harga setiap beg dijual bermula RM15 (S$4) sehingga RM60 (S$17).
“Saya mahu pelanggan saya memakai beg bermutu seperti mana saya juga wanita yang mahukan beg-beg bermutu dan lasak untuk digayakan, namun pada masa sama tetap cantik serta unik,” katanya yang membuka gerai perniagaan di pasar pagi di Medan Ilmu setiap kali kuliah Jumaat sahaja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.