Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Surau bergerak di Ipoh dapat sambutan menggalakkan, mudahkan umat Islam dirikan solat

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Perkhidmatan surau bergerak yang dilancarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak Mac lalu memberi banyak manfaat kepada orang ramai untuk menunaikan ibadah.

Kemudahan bas yang berfungsi sebagai surau itu juga dilihat memberi ruang kepada para peniaga beragama Islam khususnya, untuk mendirikan solat di lokasi perniagaan tertentu, lapor Astro AWANI.

Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Agama Islam MBI, Abu Bakar Hussian ketika meninjau perkhidmatan itu di Gerbang Malam di Ipoh berkata, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan kemudahan itu.
Gambar: Agensi Berita
"Alhamdulillah dapat meninjau perkhidmatan surau bergerak MBI di Jalan Theatre, Ipoh berdekatan Gerbang Malam.

"Perkhidmatan bas ini di sini pada Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja. Bermula pada pukul 6.30 petang hingga 12.00 tengah malam. Kita bergerak ikut lokasi yang bersesuaian dan mengikut permintaan.

"Ramai yang hadir untuk menunaikan solat, bak kata mereka, berniaga... berniaga juga tetapi solat tetap tidak dilupakan," katanya seperti dinukil Astro AWANI.

Kata beliau lagi, dengan adanya kemudahan itu sekurang-kurangnya memudahkan orang ramai mengerjakan ibadah. Ia di samping mengajak umat Islam untuk sama-sama mengingati Allah SWT, walau sesibuk mana aktiviti kehidupan seharian, lapor Astro AWANI lagi.

Tambah Encik Abu Bakar, mana-mana agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menggunakan perkhidmatan surau bergerak itu, boleh menghubungi pihak MBI atau dirinya untuk keterangan lanjut.

Sebelum ini media melaporkan, MBI muncul sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama berjaya menyiapkan sebuah bas yang direka khas menjadi surau bergerak untuk kegunaan umat Islam menunaikan solat lima waktu.
Gambar: Agensi Berita
Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin berkata surau itu adalah hasil idea dan reka bentuk MBI bersama syarikat yang dilantik dengan mengambil kira tentang kemudahan asas bersolat serta ditambah baik dengan ciri-ciri moden lagi selesa.

Beliau berkata ia dilengkapi dengan ruang solat, sistem air wuduk, sistem pendingin hawa, generator, alat audio video yang lengkap dengan sistem waktu azan dan kanopi.

“Konsep surau bergerak ini amat mudah dan mesra yang akan dikendalikan oleh seorang petugas.

"Surau ini boleh diletakkan pada mana-mana lokasi bagi kemudahan umat Islam memanfaatkannya untuk solat serta aktiviti dakwah yang bersesuaian.

Ruang surau ini boleh memuatkan seramai 15 orang," katanya lagi.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan