Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Surat ICC beri tempoh sebulan untuk Israel, Palestin minta penangguhan

Surat ICC beri tempoh sebulan untuk Israel, Palestin minta penangguhan.

Anggaran Waktu Membaca:
Surat ICC beri tempoh sebulan untuk Israel, Palestin minta penangguhan

Pendakwa Raya Fatou Bensouda. (Gambar: Bas Czerwinski/Pool via REUTERS)

Diterbitkan : 20 Mar 2021 08:11AM Dikemas Kini : 20 Mar 2021 08:13AM

THE HAGUE: Pihak pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Jumaat (19 Mac) menyatakan mereka sudah mengirimkan surat kepada Israel dan Palestin tentang siasatan ke atas jenayah perang, satu langkah yang memberi kedua-dua pihak itu tempoh sebulan untuk mendapatkan penangguhan.

Awal bulan ini, pendakwa ICC Fatou Bensouda mengumumkan bahawa beliau dengan secara rasmi akan menjalankan siasatan ke atas jenayah perang di Wilayah Palestin, iaitu langkah yang dialu-alukan oleh Penguasa Palestin namun diselar oleh Israel.

Surat pemberitahuan mengenai Artikel 18 itu dikirimkan pada 9 Mac kepada semua pihak terlibat termasuk Israel dan Palestin, menurut pejabat pendakwa raya dalam kenyataannya kepada Reuters.

Penguasa Israel dan Palestin kini mempunyai tempoh hanya sebulan untuk memaklumkan kepada mahkamah jika mereka sendiri sedang menjalankan siasatan ke atas dakwaan jenayah dan mahu siasatan ICC ditangguhkan.

Para pegawai Palestin mengesahkan mereka sudah menerima surat pemberitahuan itu. Seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar Israel bagaimanapun enggan memberikan komen sama ada pihaknya sudah menerima surat itu, sambil menegaskan bahawa soalan itu seharusnya diajukan kepada ICC.

Pada Disember 2019, Cik Bensouda berkata jenayah perang dilakukan di Tebing Barat dan Carikan Gaza. Beliau menyebut tentera Israel dan kumpulan bersenjata Palestin seperti Hamas sebagai pelakunya.

ICC ditubuhkan sebagai mahkamah ikhtiar terakhir yang boleh campur tangan hanya sekiranya negara-negara tidak berupaya atau tidak mahu mendakwa penduduk mereka atas jenayah-jenayah yang tertakluk di bawah penghakiman ICC.

Para pegawai Israel pula berhujah bahawa ICC tidak mempunyai bidang kuasa kerana Israel menjalankan siasatannya sendiri, termasuk ke atas apa yang disifatkan oleh tentera Israel sebagai "insiden-insiden luar biasa" semasa perang di Gaza pada 2014 antara Israel, Hamas dan kumpulan-kumpulan militan Palestin yang lain.

Di bawah undang-undang mahkamah, pendakwa "hendaklah menangguhkan siasatan negara ke atas pihak yang terlibat" seperti yang dimaklumkan oleh mahkamah kepada negara-negara menerusi surat pemberitahuan jika negara itu sendiri sedang menjalankan siasatan atau pendakwaan berhubung insiden yang sama.

Penangguhan seperti itu akan disemak setiap enam bulan untuk memastikan siasatan dan pendakwaan itu dilakukan dengan betul. 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan