Skip to main content

Dunia

‘Super El Nino’ dijangka jejas teruk Asia Tenggara antara Okt-Dis

Fenomena iklim El Nino berlaku secara semula jadi setiap dua hingga tujuh tahun dan lazimnya berlarutan sekitar sembilan hingga 12 bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Super El Nino’ dijangka jejas teruk Asia Tenggara antara Okt-Dis

Lebih banyak kebakaran hutan dijangka berlaku di Asia Tenggara. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 17 Sep 2026 08:06AM
  • El Nino tahun ini mungkin menjadi “super”, dengan NOAA meramalkan peluang 98 peratus dari bulan depan hingga Disember dan risiko paling buruk sejak 1950.
  • Fenomena semula jadi ini berlaku apabila angin pasat melemah, mengalihkan air panas dan hujan di Lautan Pasifik, biasanya selama sembilan hingga 12 bulan.
  • Kesan awal sudah dirasai di Asia Tenggara, termasuk kemarau di ladang Indonesia, paras takungan Vietnam menurun dan kebimbangan Thailand menjelang musim kering.
  • Kemarau berpanjangan boleh menjejaskan sawah padi, mengurangkan pengeluaran minyak sawit Indonesia, mengetatkan bekalan makanan dan menaikkan harga pengguna serantau.
Dijana oleh AI
BALI: Fenomena iklim El Nino berlaku secara semula jadi setiap dua hingga tujuh tahun dan lazimnya berlarutan sekitar sembilan hingga 12 bulan.

Ia berlaku apabila angin pasat melemah, menyebabkan air permukaan yang panas dan taburan hujan beralih ke bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik.

Walaupun kesannya sudah mula dirasakan, dengan ladang-ladang di Indonesia dilanda kemarau dan paras air takungan di Vietnam menurun, fenomena itu mungkin baru sahaja bermula.

Keadaan dalam beberapa bulan akan datang juga boleh menjadi lebih buruk.

El Nino tahun ini mungkin berkembang menjadi El Nino “super”, apabila pemanasan di Lautan Pasifik berlaku secara ekstrem. Sesetengah pakar malah menggelarnya El Nino “Godzilla”.

Pada Khamis lalu, Pusat Ramalan Iklim di bawah Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat berkata peluang berlakunya El Nino yang “super” dari bulan depan hingga Disember ialah 98 peratus.

Ia turut meramalkan peluang 75 peratus - meningkat daripada ramalan sebelumnya sebanyak 69 peratus - bahawa El Nino paling teruk sejak 1950 akan berlaku dalam tempoh tersebut.

Tiga kejadian El Nino super pernah berlaku sebelum ini, iaitu pada 1982 hingga 1983, 1997 hingga 1998 dan 2015 hingga 2016.

El Nino kali ini berlaku ketika iklim global lebih panas berbanding sebelum ini, yang menurut para penyelidik boleh memburukkan kesannya.

Jika keadaan bertambah buruk, kesannya boleh menjejas kehidupan seharian di seluruh Asia Tenggara, termasuk membawa risiko yang kurang ketara terhadap kesihatan dan mata pencarian.

Thailand merupakan antara pengeksport beras dan gula terbesar di dunia.

Walaupun negara itu kini mengalami musim hujan, Pengerusi Jawatankuasa Dewan mengenai Tanah, Sumber Asli dan Sekitaran Poonsak Chanchampee bimbang tentang musim kering yang bakal menyusul.

Di Indonesia pula, kira-kira 30,400 hektar sawah padi terjejas akibat kemarau setakat 10 Julai, menurut kementerian pertanian negara itu.

Pengeluaran minyak sawit Indonesia pula boleh merosot hampir dua juta tan metrik tahun depan akibat cuaca kering dan kos baja yang tinggi.

Jika kemarau berpanjangan menjejas hasil tanaman di negara-negara pengeluar makanan utama, bekalan makanan yang semakin terhad boleh menyebabkan harga pengguna meningkat di Asia Tenggara.
Sumber : CNA/IM/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita