Skip to main content

Dunia

'Summer Davos' di Tianjin tarik minat pemimpin, pelabur dari Timur Tengah, Afrika Utara

'Summer Davos' – perhimpunan tahunan kedua terbesar Forum Ekonomi Dunia (WEF) – bermula pada Selasa (24 Jun) di bandar utara China, Tianjin.

Anggaran Waktu Membaca:
'Summer Davos' di Tianjin tarik minat pemimpin, pelabur dari Timur Tengah, Afrika Utara

Lebih 1,700 peserta dari pemerintah, perniagaan dan kumpulan awam dari 90 negara dijadual menghadiri perhimpunan tahunan kedua terbesar Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Tianjin, China.

Diterbitkan : 24 Jun 2025 09:35AM Dikemas Kini : 24 Jun 2025 09:56AM
TIANJIN: 'Summer Davos' – perhimpunan tahunan kedua terbesar Forum Ekonomi Dunia (WEF) – bermula pada Selasa (24 Jun) di bandar utara China, Tianjin.

Juga dikenali sebagai mesyuarat tahunan 'New Champions', acara itu dijangka akan menyaksikan lebih 1,700 peserta - satu paras rekod pascapandemik daripada wakil pemerintah, perniagaan dan masyarakat sivil dari 90 negara.

Mirek Dusek, Pengarah Urusan Forum tersebut, berkata perhimpunan itu akan meneroka topik-topik termasuk keusahawanan, inovasi teknologi dan hubungan perdagangan dan pelaburan yang berkembang antara Asia dan Timur Tengah.

Kira-kira 120 peserta daripada Timur Tengah dan Afrika Utara dijangka hadir, dua kali ganda daripada tahun lalu.

Menurut Encik Dusek, peningkatan kehadiran itu sebahagiannya boleh dikaitkan dengan perubahan geografi pada hubungan ekonomi, dengan Asia menyumbang besar kepada pertumbuhan global.

"60 peratus daripada pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) global adalah dari Asia ... dengan ekonomi China (menjadi) ekonomi kedua terbesar di dunia," katanya kepada Mediacorp.

Perdana Menteri China Li Qiang dijadual akan menghadiri sesi pleno pembukaan dan menyampaikan ucapan khas.

Para pemimpin dunia yang hadir termasuk Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

EKONOMI DAN DAYA TAHAN

Edisi ke-16 mesyuarat itu, bertemakan "Keusahawanan untuk Era Baharu", akan menyaksikan para hadirin membincangkan topik-topik termasuk tenaga baharu, ekonomi global dan prospek China sepanjang tempoh selama tiga hari.

"Banyak perubahan dalam ekonomi dunia menekankan keperluan untuk pertukaran sedemikian," kata Encik Dusek, sambil merujuk kepada faktor seperti tarif Amerika.

Beliau menambah bahawa para pemimpin dunia sedang mencari cara untuk memahami bagaimana negara mereka boleh kekal berdaya saing dan berdaya tahan di tengah-tengah kemajuan teknologi dan perubahan pesat kepada ekonomi dunia.

Beliau berkata para pemimpin perniagaan antarabangsa juga sedang melihat bagaimana mereka boleh melabur dalam pelbagai sektor di China, termasuk tenaga dan kecerdasan buatan (AI).

“AI … dan teknologi lain (sedang) membentuk semula industri dan masyarakat,” kata Encik Dusek, sambil menambah bahawa satu lagi trend yang menyaksikan syarikat dan pemerintah saling “bertaruh” ialah peralihan tenaga, topik utama perbincangan dalam mesyuarat tersebut.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita