Sumbangan ihsan RM300, bantuan kerja baik pulih rumah bagi mangsa ribut & puting beliung di Ipoh
Kerajaan negeri Perak memberi jaminan bahawa semua mangsa ribut dan puting beliung akan menerima wang ihsan RM300 (S$96) dan bantuan kerja membaik pulih rumah.
IPOH: Kerajaan negeri Perak memberi jaminan bahawa semua mangsa ribut dan puting beliung akan menerima wang ihsan RM300 (S$96) dan bantuan kerja membaik pulih rumah.
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata peruntukan wang bantuan itu juga akan ditambah sekiranya tidak mencukupi selepas terdapat mangsa yang mendakwa tidak menerima bantuan RM300 itu.
“Semasa mengumumkan bantuan itu, saya menyebut sebanyak 219 buah rumah terkesan, jadi saya memberitahu pegawai daerah untuk memberikan wang yang secukupnya pada hari berkenaan tetapi kemungkinan angka itu bertambah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) hari ini (3 Feb).
Pada Isnin lalu (31 Jan), Encik Saarani ketika melawat lokasi kejadian mengumumkan mangsa yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian tersebut iaitu di Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,300 (S$417).
Bantuan itu terdiri daripada wang ihsan kerajaan negeri sebanyak RM300 yang diberikan pada hari lawatan Saarani serta wang ihsan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) RM1,000 (S$321) daripada Kerajaan Persekutuan yang akan diserahkan dalam masa terdekat.
Menurut Encik Saarani, pihak kontraktor juga akan dilantik segera untuk membaiki rumah, terutama sekali atap rumah yang diterbangkan angin bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku sekiranya hujan.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 6.00 petang pada Ahad lalu (30 Jan), ribut dan puting beliung menyebabkan kerosakan di empat kawasan berkenaan, selain tiang elektrik dan kira-kira 100 pokok tumbang, bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.