Skip to main content

Dunia

Sumatera Barat kenal pasti tempat berlindung jika berlaku bencana

Anggaran Waktu Membaca:
Sumatera Barat kenal pasti tempat berlindung jika berlaku bencana

Gambar: Agensi berita

Diterbitkan : 30 Apr 2023 11:07AM
PADANG: Gabenor Sumatera Barat, Mahyeldi, menggesa pentadbiran bandar dan daerah di Indonesia menyenaraikan lokasi yang boleh digunakan sebagai tempat perlindungan apabila berlaku bencana.

Ia termasuk bangunan tinggi di kawasan yang terdedah kepada tsunami supaya boleh digunakan sebagai tempat perlindungan apabila berlaku bencana.

"Kejadian berulang gempa bumi dan tsunami kekal berpotensi mengancam kawasan kepualaun ini.

"Oleh itu, kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyediakan lebih banyak tempat perlindungan," katanya di Padang, ibu kota wilayah Sumatera Barat, lapor agensi berita Antara.

Terdapat beberapa pusat perlindungan di bandar Padang dan beberapa kawasan lain yang boleh digunakan untuk menempatkan mangsa yang dipindahkan, sekiranya berlaku gempa bumi kuat serta tsunami, tambah Encik Mahyeldi.

Namun, beliau menekankan kepentingan menyediakan lebih banyak tempat perlindungan bagi mangsa yang dipindahkan.

Mana-mana bangunan yang mampu tahan gempa boleh digunakan untuk melindungi mereka yang terjejas oleh bencana.

"Masjid, sekolah dan pasar yang terletak di tempat sesak boleh dijadikan tempat perlindungan, asalkan bangunannya mampu tahan gempa," katanya, lapor agensi berita Antara.

Bagi membolehkan premis-premis tersebut dijadikan sebagai pusat pemindahan, pemerintah wilayah perlu membuat senarai bangunan tahan gempa di kawasan pentadbiran masing-masing, tambahnya.

Selain itu, pentadbiran wilayah juga perlu menyediakan laluan dan zon pemindahan yang mudah diakses lagi selamat serta mengadakan latihan mitigasi bencana secara berkala buat penduduk, katanya dipetik agensi berita Antara.

Pada awal pagi Selasa lalu (25 Apr), gempa bumi berukuran 6.9 magnitud menggegarkan kawasan di daerah Kepulauan Mentawai di Sumatera Barat, menyebabkan penduduk tempatan meninggalkan rumah mereka.

Gegaran gempa bumi kuat itu turut dirasai ramai penduduk di bandar dan daerah lain di wilayah tersebut.

Sumatera Barat pernah mengalami gempa bumi maut berukuran 7.9 pada skala Richter pada 30 September 2009.

Gempa bumi Padang itu mengorbankan sekurang-kurangnya 383 orang dan memusnahkan banyak bangunan serta rumah pemerintah.

Indonesia sering mengalami gempa kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, di mana plat tektonik sering bertembung.

Pada 2004, satu gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter berlaku di wilayah Aceh di Sumatera, menyebabkan tsunami dan meragut nyawa lebih 170,000 orang di Indonesia.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita