Skip to main content

Dunia

Sultan Pahang seru rakyat Malaysia hidupkan semula tulisan Jawi

Anggaran Waktu Membaca:
Sultan Pahang seru rakyat Malaysia hidupkan semula tulisan Jawi

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu 2025. (Gambar: BERNAMA)

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat agar tampil sebagai pelopor dalam menghidupkan semula penggunaan tulisan Jawi.

Sultan Pahang percaya memelihara tulisan Jawi bukan sekadar amanah sekolah atau institusi agama semata-mata tetapi tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat.

"Tulisan Jawi adalah nadi dan wajah sebenar identiti bangsa Melayu, andai ia pupus daripada kehidupan kita, maka seakan-akan hilanglah sebahagian daripada roh dan jiwa bangsa ini.

"Biarlah ia tidak sekadar menjadi khazanah usang yang terperap di muzium tetapi terus berdenyut sebagai nadi kehidupan, dari desa terpencil hingga ke kota raya, dari urusan pentadbiran hingga ke hamparan maya tanpa batas," titah Sultan Pahang semasa Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu 2025 pada Selasa (19 Ogos).

Turut hadir Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Di majlis itu, Sultan Pahang turut melancarkan buku "Mahir Jawi: Panduan Komprehensif Untuk Semua Peringkat" yang dihasilkan Munsyi Dewan Jawi daripada Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).

Sultan Abdullah berkata bahawa dalam arus kemodenan, tulisan Jawi berdepan cabaran besar apabila tulisan itu kurang digunakan dalam kehidupan seharian, terpinggir dalam komunikasi rasmi dan semakin jauh daripada generasi muda.

Sehubungan itu, bagi memperkasakan tulisan Jawi, Sultan Abdullah menyarankan beberapa langkah yang boleh dilaksanakan termasuk memanfaatkan teknologi digital dengan mewujudkan aplikasi dan platform media sosial berasaskan Jawi agar ia segar dalam jiwa anak muda.

Pihak berkuasa tempatan juga perlu menyeragamkan penulisan Jawi di premis perniagaan dan tempat pelancongan di Pahang selain usaha melahirkan lebih ramai pakar Jawi menerusi kursus intensif secara konsisten serta mempertingkatkan penyelidikan berkaitan manuskrip Melayu bertulisan Jawi.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah menasihatkan agar pemakaian baju Melayu terus dijadikan amalan.

"Bukan salah pakai jubah, tetapi jangan lupa pakai baju Melayu. Saya juga nak maklumkan, Majlis Kesultanan Pahang akan berusaha untuk menukar sikit corak pakaian di istiadat atau upacara di istana dengan pemakaian tanjak," titah baginda.

Seramai 200 peserta termasuk pembentang dari Jepun, Singapura dan Brunei terlibat dalam konvensyen dua hari bermula semalam itu yang antara lain bertujuan menyemarakkan budaya perkongsian ilmu dan pengalaman memfokuskan kepada tulisan Jawi, khat, pengajian bahasa Melayu dan manuskrip.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita