Sultan Johor murka anggota majlis bandaraya guna bahasa Cina dalam surat rasmi
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang Anggota Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang menggunakan bahasa Cina dalam urusan surat rasmi majlis itu.
Sultan Ibrahim Iskandar. (Gambar: Johor State Government)
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang Anggota Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang menggunakan bahasa Cina dalam urusan surat rasmi majlis itu.
Beliau bertitah apa sahaja surat rasmi, sama ada melibatkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor seharusnya ditulis dalam bahasa Melayu.
“Apa sahaja urusan surat menyurat melibatkan kerajaan negeri atau Anggota Majlis PBT, semuanya mesti dalam bahasa Melayu kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat.
“Bila masa dalam negeri Johor, surat rasmi ditulis dalam dua bahasa,” tegas Sultan Johor dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office (RPO) dalam laman Facebook rasmi beliau, hari ini (25 Sep).
Beliau mengeluarkan arahan demikian sebagai mengulas tindakan seorang Anggota Majlis MBIP yang menggunakan bahasa Cina dalam surat rasmi majlis untuk memaklumkan mengenai penganjuran sebuah majlis dialog.
Surat rasmi berikut seterusnya viral dalam laman media sosial.
Sultan Ibrahim turut memerintahkan semua pihak harus menghormati penggunaan bahasa Melayu dalam sebarang urusan surat rasmi berkaitan kerajaan negeri mahu pun PBT, yang digunakan sejak dahulu di Johor.
“Saya sarankan kepada Anggota Majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya…, jangan pisang berbuah dua kali,” titah Sultan Ibrahim lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.