Sultan Johor lawat Muhyiddin di S'pura
Beliau menasihatkan semua pihak supaya mengetepikan apa jua fahaman politik dan bersama-sama mendoakan kesihatan Encik Muhyiddin.
Sultan Ibrahim Iskandar. (Gambar: Johor State Government)
KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa (31 Jul) menziarahi Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin yang kini menerima rawatan di hospital pakar di Singapura.
Beliau meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar mengenai keadaan Encik Muhyiddin yang menjalani pembedahan pada 12 Julai bagi membuang tumbuhan di pankreas, menurut catatan di laman Facebook beliau.
Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim menasihatkan Encik Muhyiddin supaya tidak bimbang atau tertekan dan sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap rawatan yang diterima.
"Saya mendoakan agar Encik Muhyiddin cepat sembuh dan kembali menjalankan tugas kerana khidmatnya diperlukan rakyat dan negara," kata beliau, yang berada di Singapura untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan akibat kecederaan lama ketika bermain sukan polo.
Beliau menasihatkan semua pihak supaya mengetepikan apa jua fahaman politik dan bersama-sama mendoakan kesihatan Encik Muhyiddin.
Turut hadir adalah isteri Encik Muhyiddin, Cik Noorainee Abdul Rahman.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kini menjalankan tugas Menteri Dalam Negeri semasa ketiadaan Encik Muhyiddin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.