Skip to main content

Dunia

Sultan Brunei pandu sendiri kereta, bawa Anwar Ibrahim ke Pejabat PM

Anggaran Waktu Membaca:
SUBANG: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memandu sendiri kereta dengan membawa Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim ke Seri Perdana, Putrajaya sempena lawatan khas baginda ke Malaysia, pada Isnin (28 Nov).

Sebelum kedua-dua pemimpin itu memulakan perjalanan pada kira-kira pukul 11.45 pagi, Encik Anwar yang duduk bersebelahan Sultan Hassanal Bolkiah, sempat melambaikan tangan ke arah pengamal media.

Turut berkenan menaiki kereta jenis BMW tersebut adalah anakanda Sultan Brunei Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah.

Perjalanan kedua-dua pemimpin itu ke Putrajaya dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, yang jaraknya kira-kira 41 kilometer, diiringi pasukan keselamatan bermotosikal dan berkereta.

Terdahulu,Encik Anwar menyambut keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah serta delegasi Brunei yang selamat mendarat di Pangkalan TUDM pada pukul 11.40 pagi.

Sejurus tiba, baginda diberikan tabik hormat oleh perbarisan daripada Tentera Darat Malaysia yang diketuai Mejar Mohd Faudzi Che Hashim. Turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Keberangkatan baginda ke Malaysia bagi mengadakan pertemuan sulung dengan Encik Anwar yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lepas.

Perdana Menteri Malaysia itu juga akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah serta Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan delegasi Brunei dalam satu majlis santapan tengah hari pada Isnin (28 Nov).

Menurut Wisma Putra dalam kenyataan, lawatan terakhir baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei.

Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan istimewa yang lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama rakyat.

Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan itu untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada, di samping meneroka potensi baru bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pada 2021, Brunei ialah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.03 bilion (S$25 bilion).
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita