Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sukar tarik sokongan golongan muda selepas UMNO pecat KJ, kata Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: UMNO akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan semula sokongan golongan muda berikutan tindakan parti itu memecat pemimpin kritis seperti mantan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Dalam temu bual dengan Utusan Malaysia, Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob berkata parti itu telah mengambil langkah ke belakang dengan isyarat yang salah kepada golongan muda.

“Kita memberi petanda yang salah kepada mereka (golongan muda). Iaitu parti UMNO tiada demokrasi, dipecat atau digantung. Itulah persepsi mereka sekarang terhadap parti ini.

“Mereka (orang muda) lebih melihat dan mahukan pemimpin yang dipecat UMNO seperti Khairy. Beliau (Khairy) terbuka dalam mengkritik parti dan pada orang muda itu sesuatu yang wajar. Sebab itu, saya kata mereka ideal. Mereka mahu kebebasan diberi pada ahli. Orang muda tidak akan masuk parti yang menyekat kebebasan mereka,” kata Ahli Parlimen Bera itu seperti dilapor Malaysiakini.

Encik Khairy, bersama mantan Ketua UMNO Selangor, Noh Omar dipecat daripada parti kerana didakwa mensabotaj parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala beberapa pemimpin dan ahli lain digantung selama enam tahun.

Encik Khairy sejak itu mempertahankan kritikannya terhadap UMNO dan berkata beliau tidak akan merayu terhadap keputusan pemecatan itu.

Sementara itu, Encik Ismail Sabri mengatakan UMNO telah kehilangan beberapa sokongan golongan muda pada PRU15 lalu dan parti itu boleh menjangkakan akan menghadapi nasib yang sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, termasuk dalam kalangan pengundi kali pertama yang telah didaftarkan secara automatik.

“Kita hadapi masalah sama dalam PRU15 baru-baru ini yang akhirnya ditolak orang muda dan golongan profesional. Sebab kita tak nampak apa tawaran baru yang diberikan sebelum dan selepas PRU15 kalau kita dengan cara dan nada sama.

“Jadi tiada apa yang hendak diharapkan pada UMNO lagi. Kalau dulu kita ditolak, tiada sebab mereka mahu ubah dan tolak UMNO sekali lagi,” katanya.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan