Skip to main content

Dunia

Sukar dapat undi rakyat 40-55 tahun, kata Presiden MUDA Syed Saddiq

Anggaran Waktu Membaca:
SHAH ALAM: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengakui berdepan masalah untuk memenangi undi daripada rakyat berumur lingkungan 40 hingga 55 tahun.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagaimanapun MUDA mempunyai kelebihan menerusi sokongan dalam kalangan pengundi lebih muda dan lebih tua daripada umur tersebut.

Menurutnya, ia sekali gus membuktikan politik khidmat dan dasar yang dibawa MUDA bukan berdasarkan umur semata-mata, lapor Sinar Harian.

"Kita akui kita ada sedikit masalah dalam memenangi undi dalam lingkungan umur 40 hingga 55 tahun... Tapi yang sangat muda sangat sokong, sangat tua juga menyokong."

"Kalau kita lihat kerusi (Parlimen) Muar, (DUN) Puteri Wangsa, peratusan sokongan MUDA ini bukan sahaja datang daripada anak muda. Apa yang mengejutkan adalah peratusan sokongan dalam kalangan orang tua atas 60 tahun."

"Mengapa? Kerana politik yang MUDA ketengahkan bukan politik berdasarkan umur semata-mata. MUDA itu sendiri adalah tentang politik baru yang segar.

"Politik berpaksikan khidmat dan dasar...dan apabila mereka lihat kita bicarakan isu-isu dasar, solusi kepada masalah rakyat, ia merentasi faktor umur, bangsa dan agama," katanya menerusi hantaran video di Facebook.

Ahli Parlimen Muar itu menambah, MUDA mahu memberi fokus dalam meningkatkan imej Malaysia sebagai negara majoriti Islam yang lebih maju dan diiktiraf seantero dunia, khususnya menjadi yang terunggul di Asia Tenggara, seperti dinukil laporan Sinar Harian.

"MUDA ingin berikan lonjakan paradigma supaya Malaysia menjadi negara yang maju, negara membangun di mana semua rakyatnya tidak kira umur bangsa dan agama melihat negara ini sebagai rumah mereka."

"Mereka ada pendapatan yang baik, pekerjaan yang baik, ada sistem pengangkutan yang baik, isu perubahan iklim dapat ditangani dengan baik," katanya.

 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita