Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Sujud', permintaan terakhir Ustaz Hassan Azhari

“Abuya nak sujud.” Itulah permintaan terakhir Allahyarham Ustaz Hassan Azhari sebelum keadaan kesihatannya merosot pada Sabtu lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
'Sujud', permintaan terakhir Ustaz Hassan Azhari

Allahyarham Ustaz Hassan Azhari. (Petikan gambar dari video YouTube)

Diterbitkan : 06 Oct 2018 11:17PM Dikemas Kini : 06 Oct 2018 11:51PM

KUALA LUMPUR: “Abuya nak sujud.” Itulah permintaan terakhir Allahyarham Ustaz Hassan Azhari sebelum keadaan kesihatannya merosot pada Sabtu lepas.

Anak Allahyarham, Encik Mohd Zain Hassan berkata selepas Allahyarham meminta untuk sujud beliau sudah tidak boleh bercakap dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur keesokan harinya untuk mendapatkan rawatan.

“Saya dan abang Abdul Rahman bantu arwah untuk sujud dalam 15 minit… arwah kata dia minta ampun kepada Allah  dan bersyukur umur dia panjang, ada keluarga dan anak yang baik. 

Itulah permintaan terakhir arwah kepada kami sebelum tidak boleh bercakap pada hari Ahad,” katanya kepada pemberita di kediaman bapanya di Keramat, di sini pada Sabtu (6 Okt). 

PENYAKIT DIKETAHUI PADA OGOS LALU

Ustaz Hassan Azhari, 90 tahun, tokoh Al-Quran terkenal Malaysia. Beliau meninggal dunia akibat  kanser limfoma kira-kira 5.00 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Encik Mohd Zain berkata mereka sekeluarga mula mengetahui mengenai penyakit kanser bapanya pada Ogos lepas.

“Arwah ada demam sebelum kelenjarnya bengkak... selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan arwah mengidap kanser. Sebelum ini arwah tidak menunjukkan simptom menghidapi kanser,” katanya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd. 

Allahyarham, yang juga bapa kepada bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan dan pelakon terkenal Jalaluddin Hassan, mempunyai 22 anak daripada tiga orang isteri, termasuk bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Fuad Hassan yang meninggal dunia pada Disember 2014. 

Jenazah akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam kira-kira pukul 9.00 pagi Ahad (7 Okt) sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, atas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

RAKAM 442 SIRI PROGRAM BACA AL QURAN

Pemergian Hassan, yang dilahirkan di perkampungan Syi'ab Amir di Makkah, Arab Saudi, pada 18 Ogos 1928 tentunya amat dirasai bukan sahaja dalam kalangan anggota keluarga malah seluruh umat Islam  memandangkan jasanya yang besar dalam bidang tilawah Al-Quran di negara ini.

Allahyarham Hassan adalah individu yang diberi penghormatan untuk melaungkan azan semasa kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Beliau bukan asing di kaca televisyen apabila menjadi pengajar rancangan Muqaddam selama lapan tahun di saluran televisyen RTM beberapa dekad lalu.

Kerjayanya termasuk 40 tahun mengajar membaca al-Quran yang ke udara di RTM, dengan Allahyarham sendiri merekodkan 442 siri program membaca al-Quran, kuliahnya menekankan sebutan dan makhraj yang betul dalam kalangan para pelajarnya.

Allahyarham Ustaz Hassan juga merupakan hakim pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara dan di peringkat antarabangsa dengan turut menjadi hakim di Arab Saudi, Mesir, Iran, Dubai dan Brunei.

Sumber : Bernama/DY/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan