Suis bahan api pesawat Air India jadi tumpuan jelang laporan awal nahas
Laporan awal mengenai nahas pesawat Air India pada Jun dijangka akan dikeluarkan pada Jumaat (11 Jul), menurut tiga sumber yang mengetahui tentang perkara itu.
Ekor pesawat Boeing 787 Dreamliner Air India yang terhempas kelihatan tersangkut pada sebuah bangunan di Ahmedabad, India, pada 12 Jun 2025. (Gambar fail: REUTERS/Amit Dave)
Salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa siasatan kini tertumpu kepada pergerakan suis kawalan bahan api pesawat tersebut.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner yang sedang melakukan penerbangan ke London itu tidak dapat terbang dengan lebih tinggi selepas mencapai altitud 650 kaki, lalu terhempas sejurus selepas ia berangkat dari Ahmedabad, India, mengorbankan 241 daripada 242 penumpang dan anak kapal, serta beberapa individu di lapangan.
Siasatan berhubung nahas itu kini memberi tumpuan kepada pergerakan suis kawalan bahan api enjin, menyusuli analisis yang dijalankan ke atas perakam data penerbangan dan suara pesawat tersebut, selain simulasi detik akhir pesawat oleh Boeing, menurut salah seorang sumber.
Setakat ini, siasatan tidak menunjukkan sebarang kebimbangan segera terhadap kegagalan mekanikal, menurut sumber itu, dan tiada buletin dikeluarkan kepada syarikat penerbangan bagi mencadangkan perubahan terhadap operasi pesawat 787.
Boeing enggan memberi ulasan.
Penerbitan industri penerbangan, The Air Current, merupakan pihak pertama yang melaporkan bahawa siasatan tertumpu kepada suis bahan api yang membekalkan kuasa kepada dua enjin pesawat tersebut.
Namun begitu, tindakan khusus berhubung suis itu, yang sedang diteliti oleh para penyiasat, masih belum jelas.
Menurut sumber The Air Current, maklumat yang diperoleh daripada kotak hitam tidak dapat mengesahkan mahupun menolak kemungkinan wujudnya tindakan yang tidak wajar, sama ada disengajakan atau tidak, sebelum atau selepas kehilangan daya tujahan pesawat.
Pakar keselamatan penerbangan Amerika Syarikat, John Cox, berkata suis bahan api tidak boleh digerakkan secara tidak sengaja oleh juruterbang.
“Anda tidak boleh terlanggarnya dan ia bergerak,” katanya.
Encik Cox menambah bahawa jika suis dimatikan, kesannya hampir serta-merta, memutuskan kuasa enjin.
Kebanyakan nahas udara berpunca daripada pelbagai faktor.
Reuters sebelum ini melaporkan bahawa siasatan turut tertumpu kepada daya tujahan enjin sebagai salah satu aspek utama.
Walaupun laporan awal oleh penyiasat India mungkin akan diumumkan pada Jumaat, ketiga-tiga sumber memberi amaran bahawa perancangan boleh berubah dan masih belum jelas berapa banyak maklumat yang akan dimasukkan ke dalam dokumen tersebut, yang dijangka diterbitkan sekitar 30 hari selepas tragedi pada 12 Jun itu.
Ketiga-tiga sumber bercakap kepada Reuters dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan kerana mereka tidak dibenarkan untuk memberi kenyataan kepada media.
Biro Siasatan Nahas Udara India, yang mengetuai siasatan mengikut peraturan antarabangsa, tidak memberikan sebarang maklum balas segera apabila dihubungi di luar waktu pejabat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.