Suhu rekod di negara-negara Eropah sedang gelombang haba bergerak ke arah timur
Seorang individu berdiri berhampiran air pancut di sebuah taman sedang gelombang haba menjejas Eropah di Brussels, Belgium pada 18 Jun 2026. (Gambar: Reuters/Yves Herman)
Rekod awal suhu tertinggi sepanjang masa dicatatkan pada Sabtu di Jerman, Denmark dan Republik Czech, dan satu rekod baharu bagi bulan Jun di Switzerland.
Rekod serupa juga dicatatkan pada awal minggu ini di Perancis dan Britain.
Para saintis berkata gelombang haba itu barangkali sukar berlaku tanpa perubahan iklim akibat kegiatan manusia, yang menyebabkan suhu waktu malam pada minggu ini 100 kali ganda berkemungkinan berbanding dua dekad lalu.
"Cuaca panas ini bukan cuaca musim panas yang dialu-alukan. Ia merupakan satu krisis kesihatan," kata Katrin Goering-Eckardt, seorang penggubal undang-undang persekutuan Jerman dan mantan ketua parlimen Green Party, di platform X.
Itulah yang dilaporkan di Berlin di mana suhunya mencecah 39 darjah Celsius pada Sabtu, sehingga polis mengerahkan dua meriam air di kawasan bandar untuk menyembur air ke arah orang ramai untuk menurunkan suhu.
Jerman turut mencatatkan suhu rekod baharu setinggi 41.5 darjah Celsius pada Sabtu di Moeckern-Drewitz di negeri timur Saxony-Anhalt, sekali gus mengatasi rekod yang dicatatkan sehari sebelumnya iaitu 41.3 darjah Celsius berhampiran Saarbruecken di sempadan Perancis, menurut Khidmat Meteorologi Jerman.
Sementara itu, Institut Meteorologi Denmark melaporkan bacaan suhu 37 darjah Celsius di bahagian utara bandar Aarhus pada Sabtu, iaitu tertinggi dalam rekod sejak suhu mula diukur pada 1874.
Para pegawai di Republik Czech mencatatkan suhu rekod 40.9 darjah Celsius di utara Prague, menurut Institut Hidrometeorologi Czech.
Pihak berkuasa Jerman mengeluarkan amaran cuaca panas ekstrim hampir di seluruh negara pada Sabtu.
Sedang gelombang haba bergerak ke arah timur, suhu meningkat lebih daripada 30 darjah Celsius hampir di seluruh Poland.
Suhu di Sungai Danube yang meningkat mendorong loji tenaga nuklear Paks di Hungary memotong pengeluaran bagi salah satu mesin reaktornya.
Awal dari itu, stesen tenaga nuklear Beznau Switzerland menutup sementara salah satu mesin reaktornya disebabkan oleh suhu di Sungai Aare.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.