Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suhu panas di Makkah cecah 48 darjah Selsius

Anggaran Waktu Membaca:
Suhu panas di Makkah cecah 48 darjah Selsius

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 15 Jun 2022 10:26PM Dikemas Kini : 15 Jun 2022 10:26PM
MAKKAH: Jemaah haji bakal berdepan suhu panas mencecah 48 darjah Selsius, menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Syed Saleh Abdul Rahman.

Beliau berkata musim panas di Arab Saudi ketika ini, boleh menyebabkan berlaku strok haba sekiranya jemaah haji terlalu terdedah dan kurang minum air.

"Sekarang ini musim haji dalam musim panas yang suhunya agak tinggi antara 38 hingga 48 darjah Selsius dan boleh lagi meningkat.

"Dalam keghairahan jemaah melaksanakan ibadah dan membuat lawatan bersejarah dan sebagainya, mereka harus memberi perhatian supaya tidaklah terdedah kepada cuaca panas yang agak lama dan sentiasa minum air secukupnya," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui para pemberita di bangunan yang menempatkan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) dan penginapan jemaah di Abraj Al Janadriyah, di Makkah.

Sementara itu, seorang jemaah Zaharri Hassan, 61 tahun, yang ditemui berkata beliau biasanya memilih waktu subuh, maghrib dan isyak untuk ke masjid.

"Sebenarnya dalam banyak keadaan saya tetap akan cuba ke masjid kerana ini adalah peluang untuk beribadah yang tidak tahu bila lagi akan dapat. Tetapi sekiranya cuaca terlalu panas saya akan cuba kuatkan diri dan memastikan minum air secukupnya," kata beliau yang hadir ke Tanah Suci bersama isteri, Jamilah Othman, 54 tahun.

Mohamad Bakri Hishamudin, 54 tahun pula berkata beliau akan ke masjid dengan menaiki teksi sekiranya cuaca terlalu panas.

"Memang cuaca panas kita kena reda dan Lembaga Tabung Haji (TH) pun dah nasihatkan supaya berhati-hati. Saya memang pilih buat umrah pun pada waktu pagi dan membeli barangan keperluan pun di kedai yang terdekat sahaja, kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Encik Syed Saleh berkata dalam keadaan jemaah yang masih belum ramai di Makkah, mereka yang berhasrat ke Masjidil Haram dan membeli barangan perlu sentiasa berwaspada bagi mengelak sebarang kemungkinan.

"Keselamatan diri perlu dijaga dan jika jemaah perlu berjalan dari satu tempat ke satu tempat, bergerak secara kumpulan dan bukannya bersendirian yang boleh sebabkan risiko," kata beliau yang turut mengingatkan jemaah supaya sentiasa memakai pengenalan diri dan gelang yang dikhaskan.
Sumber : Bernama/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa