Skip to main content

Dunia

Suhu meningkat di Eropah, virus West Nile merebak lebih meluas di Itali

Pihak berkuasa kesihatan Itali mendapati terdapat bukti bahawa peningkatan suhu dan musim panas yang lebih panjang membantu nyamuk menyebarkan virus West Nile ke kawasan yang lebih luas dan bagi tempoh lebih panjang setiap tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Suhu meningkat di Eropah, virus West Nile merebak lebih meluas di Itali

Francesco Severino, seorang penyelidik kanan dalam bidang entomologi perubatan, memasang jaring pada sebuah sangkar yang dipenuhi nyamuk di dalam makmal Institut Kesihatan Kebangsaan Itali di Rom, pada 18 September 2026. (Gambar AP/Gregorio Borgia)

Diterbitkan : 19 Sep 2026 07:07PM
  • Pihak berkuasa kesihatan Itali melaporkan lebih 650 jangkitan West Nile tahun ini, kira-kira separuh kes Eropah, ketika virus itu endemik sejak 2020.
  • Antonino Bella dari ISS berkata suhu meningkat dan musim panas lebih panjang membantu nyamuk membiak, memanjangkan penularan, dan mungkin membawa risiko hingga November.
  • Pakar WHO, Marc-Alain Widdowson, mengaitkan peningkatan aktiviti dengan iklim panas, kehilangan biodiversiti dan perubahan guna tanah, selain menekankan perubahan iklim bukan satu-satunya punca.
  • ECDC memberi amaran bahawa Eropah semakin sesuai untuk nyamuk invasif, dengan Aedes aegypti bertapak di Cyprus dan Aedes albopictus meluas ke 13 negara.
Dijana oleh AI
ROME: Pihak berkuasa kesihatan Itali mendapati terdapat bukti bahawa peningkatan suhu dan musim panas yang lebih panjang membantu nyamuk menyebarkan virus West Nile ke kawasan yang lebih luas dan bagi tempoh lebih panjang setiap tahun.

Lebih 650 jangkitan dilaporkan di Itali setakat tahun ini, merangkumi kira-kira separuh daripada semua kes yang dicatatkan di Eropah, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

"Suhu lebih tinggi yang dikaitkan dengan perubahan iklim membantu nyamuk membiak dan memanjangkan musim penularan, sekali gus meningkatkan kemungkinan nyamuk yang dijangkiti menyebarkan virus itu kepada manusia," kata Antonino Bella, penyelidik di Institut Kesihatan Kebangsaan Itali (ISS).

West Nile dianggap sebagai endemik di Itali sejak 2020, apabila jumlah kes mula melonjak, dan kini dilaporkan pada setiap musim panas hingga awal musim luruh.

Kira-kira 80 peratus individu yang dijangkiti tidak mengalami sebarang gejala, manakala kebanyakan yang lain mengalami gejala ringan seperti selesema. Komplikasi saraf yang serius berlaku dalam sebilangan kecil kes, terutamanya dalam kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

Para pakar berkata jumlah kes pada 2026 secara umumnya sejajar dengan yang dicatatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, suhu yang lebih panas menggalakkan pembiakan nyamuk dan boleh menyebabkan musim penularan berlanjutan sehingga November, jelas Encik Bella.

Kawasan yang sebelum ini sebahagian besarnya tidak terjejas kini semakin banyak melaporkan jangkitan, sekali gus mencerminkan penularan virus tersebut secara beransur-ansur ke seluruh negara.

Pengalaman Itali dalam menangani virus tersebut menarik perhatian negara-negara Eropah yang terletak lebih jauh di utara. Sebuah pasukan penyelidik Belgium mengunjungi ISS pada Mei lalu untuk mengkaji sistem penyelidikan dan pemantauan Itali selepas negara itu mula mencatatkan kes West Nile yang dijangkiti menerusi penularan tempatan.

Belanda melaporkan lebih 20 kes West Nile tahun ini, yang pertama sejak 2020, serta beberapa kematian, menurut institut kesihatan awam negara itu.

"Ia tidak dapat dinafikan bahawa cuaca yang semakin panas akan memanjangkan tempoh pembiakan virus dan vektor di lebih banyak negara," kata Marc-Alain Widdowson, yang mengetuai Bahagian Ancaman Pandemik, Penyakit Berjangkit dan Rintangan Antimikrob di pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Eropah.

"Kita perlu berhati-hati agar tidak mengatakan bahawa perubahan iklim merupakan satu-satunya punca, tetapi iklim yang semakin panas sememangnya bermakna musim nyamuk menjadi lebih panjang, sekali gus membolehkan vektor itu hidup lebih lama. Suhu yang panas juga bermakna virus tersebut sendiri dapat bertahan dengan lebih baik," tambah beliau.

Para pakar menyatakan bahawa rangkaian pemantauan menyeluruh Itali, yang memantau nyamuk, burung, penderma darah dan jangkitan dalam kalangan manusia, turut membantu menjelaskan mengapa negara tersebut mengesan begitu banyak kes.

"Sememangnya terdapat beberapa trend yang kami percaya menyumbang kepada peningkatan aktiviti," kata Encik Widdowson, sambil merujuk kepada iklim yang semakin panas, kehilangan biodiversiti dan perubahan guna tanah. Musim nyamuk yang lebih panjang membuka lebih banyak peluang penularan, tambah beliau, manakala kemerosotan kepelbagaian spesies burung mungkin menyebabkan spesies pembawa virus semakin dominan.

Pada Jun, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) memberi amaran bahawa trend peningkatan suhu di Eropah — dengan gelombang haba dan banjir menjadi semakin kerap dan teruk, serta musim panas yang semakin panjang dan panas — mewujudkan keadaan yang lebih sesuai bagi spesies nyamuk invasif seperti Aedes albopictus dan Aedes aegypti.

Aedes aegypti — yang diketahui boleh menyebarkan virus denggi, demam kuning, chikungunya, Zika dan West Nile — sudah bertapak di Cyprus sejak 2022 dan mungkin merebak ke negara-negara Eropah lain.

Sedekad lalu, nyamuk Aedes albopictus sudah bertapak di lapan negara Eropah, melibatkan 114 wilayah. Tahun ini, nyamuk tersebut sudah bertapak di 13 negara dan 337 wilayah, menurut ECDC.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita