Suhu di kebanyakan kawasan Saudi diramal turun hingga 15 Jan

(Gambar: Saudi Press Agency)
JEDDAH: Kebanyakan kawasan di Arab Saudi dijangka menyaksikan hujan sederhana hingga lebat mulai Rabu (11 Jan) hingga Ahad (15 Jan), menurut ramalan Pusat Kaji Cuaca Nasional (NCM) Arab Saudi.
Dalam laporan terkininya, pusat itu mendedahkan ramalan cuaca bagi pelbagai kawasan di Saudi untuk beberapa hari akan datang.
Hujan dijangka turun berterusan di sebahagian besar Arab Saudi, mulai Khamis (12 Jan) hingga Ahad, lapor Saudi Gazette.
Dalam pada itu, hujan sederhana hingga lebat dijangka melanda kawasan Makkah, Asir, Al-Baha dan Jazan.
Ribut petir turut diramalkan pada Khamis dan Jumaat (13 Jan) di Makkah, Riyadh dan Wilayah Timur, manakala hujan renyai hingga sederhana di Qassim, Hail, kawasan Sempadan utara, Al-Jouf, Tabuk dan Madinah mulai Jumaat hingga Ahad.
NCM menyatakan, suhu dijangka turun mulai pagi Rabu hingga pagi Jumaat di Tabuk, Al-Jouf, kawasan Sempadan Utara, Hail dan kawasan utara Madinah, dengan kemungkinan suhu antara satu hingga lima darjah Selsius.
Pusat tersebut juga menarik perhatian bahawa penduduk Qassim, Riyadh dan kawasan utara Wilayah Timur bakal mengalami cuaca sejuk, dengan suhu di kawasan-kawasan berkenaan berada pada sekitar empat hingga tujuh darjah Selsius.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.