Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suhu di kebanyakan kawasan Saudi diramal naik turun hingga 10 Feb

Anggaran Waktu Membaca:

RIYADH: Pusat Kaji Cuaca Nasional (NCM) Arab Saudi meramalkan kebanyakan kawasan di Arab Saudi akan menyaksikan suhu naik turun mulai Isnin (30 Jan) hingga Jumaat depan (10 Feb).

Mulai Isnin hingga Ahad (5 Feb), daerah Tabuk, Al-Jouf, bahagian utara sempadan Saudi, Hail, Al-Qassim, Riyadh, Al-Sharqiyah selain beberapa kawasan di Makkah dan Madinah akan menyaksikan angin permukaan yang berdebu. Keadaan itu mungkin membawa kepada ribut pasir yang menyebabkan kurang atau hampir sifar daya penglihatan serta ombak laut yang tinggi. 

Ribut petir sederhana hingga teruk dijangka berlaku dari Isnin hingga Rabu (1 Feb) di Tabuk, bahagian utara sempadan Saudi dan Al-Jouf.

Mulai Khamis (2 Feb) hingga Rabu (8 Feb) pula, ribut petir sederhana hingga teruk diramalkan di Hail, Al-Qassim, Al-Sharqiyah dan Madinah. Ia akan diiringi hujan batu dan hujan mencurah-curah, lapor Saudi Gazette. 

NCM menyatakan Riyadh, Al-Sharqiyah, termasuk Al-Khobar dan Dammam, Dhahran, Al-Ahsaa, Makkah, termasuk Jeddah, Taif dan Rabigh akan menyaksikan ribut petir ringan hingga sederhana pada Selasa (31 Jan) dan Rabu. 

Pada Rabu, suhu rendah dengan kemungkinan pembentukan fros antara sifar hingga 4 darjah Celsius diramalkan di Tabuk, Al-Jouf, bahagian utara sempadan Saudi, Hail dan kawasan utara Madinah, menurut Saudi Gazette lagi. 

Dalam pada itu, mulai Khamis, Riyadh, Al-Qassim dan kawasan utara Al-Sharqiyah akan menyaksikan suhu rendah dengan kemungkinan pembentukan fros antara 4 hingga 7 darjah Celsius.

Salji diramalkan turun di kawasan tanah tinggi Tabuk (Jabal Al-Lawz, Alaqan dan Al-Dhahr) pada Rabu dan Khamis, Saudi Gazette memetik NCM. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan