Sudan bentuk majlis pemerintah selepas meterai perjanjian
Sudan dijangka membentuk majlis kedaulatannya pada Ahad (18 Ogos), langkah pertama yang diambil selepas pemetraian perlembagaan peralihan, memulakan sambutan yang belum pernah disaksikan sebelum ini di Khartoum.

Kanak-kanak warga Sunda menyertai perayaan setelah para jeneral dan pemimpin pembangkang menandatangani dokumen yang akan mentadbir proses peralihan tiga tahun negara itu ke pemerintahan awam. (Gambar: Ebrahim HAMID/AFP)
KHARTOUM: Sudan dijangka membentuk majlis kedaulatannya pada Ahad (18 Ogos), langkah pertama yang diambil selepas pemetraian perlembagaan peralihan, memulakan sambutan yang belum pernah disaksikan sebelum ini di Khartoum.
Perayaan yang jarang dilihat menghidupkan suasana di jalan-jalan ibu kota tersebut pada Sabtu setelah para jeneral dan pemimpin pembangkang menandatangani dokumen yang akan mentadbir proses peralihan tiga tahun Sudan ke pemerintahan awam.
Upacara di sebuah dewan berhampiran Sungai Nil dihadiri oleh beberapa pegawai tinggi asing. Ia merupakan acara terbesar sejak bertahun-tahun lamanya di negara yang dahulunya penah disisihkan masyarakat antarabangsa.
Ucapan tahniah dari seluruh dunia datang mencurah-curah setelah upacara pemetraian tersebut, yang disifatkan oleh warganya dan para pegawai sebagai permulaan "Sudan baru" selepas 30 tahun di bawah pemerintahan jeneral Omar al-Bashir yang kini dalam tahanan.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo berikrar negaranya akan menyokong pembentukan "sebuah pemerintah yang melindungi hak kesemua warga Sudan serta membawa kepada pilihan raya bebas dan adil".
Menurut dokumen buku hijau yang ditandatangani pada Sabtu, beberapa langkah penting akan diambil sebelum memulakan perjalanan panjang dan penuh halangan menuju pilihan raya 2022.
INSTITUSI-INSTITUSI BARU
Langkah pertama bermula pada Ahad dengan pengumuman yang dirancang mengenai komposisi majlis kedaulatan, terdiri daripada enam orang awam dan lima anggota tentera.
Majlis tersebut, yang akan menggantikan Majlis Tentera Peralihan, akan diketuai oleh seorang jeneral untuk 21 bulan pertama dan kemudian oleh seorang awam selama 18 bulan terakhir tempoh peralihan tersebut.
Abdalla Hamdok, mantan ahli ekonomi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dipilih oleh golongan pembantah minggu lalu untuk menjadi perdana menteri, akan dilantik secara rasmi pada Selasa (20 Ogos).
Sebuah kabinet kemudiannya akan dibentuk sebelum institusi-institusi baru Sudan dapat menangani cabaran-cabaran utama yang akan datang. Cabaran pertama adalah untuk menyelamatkan situasi ekonominya yang tenat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.