Skip to main content

Dunia

"Sudah tiba masa akhiri perang," kata Antony Blinken

Anggaran Waktu Membaca:
"Sudah tiba masa akhiri perang," kata Antony Blinken

(Gambar: Omar AL-QATTAA / AFP)

ATHENS: “Sudah tiba masanya untuk mengakhiri perang” di Gaza, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken pada Rabu (13 Nov), lapor Agensi Anadolu.

“Daripada 15 langkah yang kami minta untuk tindakan segera, Israel telah bertindak dengan melaksanakan atau sedang dalam proses melaksanakan 12 daripada 15 langkah itu,” kata Encik Blinken, sambil merujuk kepada surat beliau dan Setiausaha Pertahanan Amerika Lloyd J. Austin kirimkan kepada rakan sejawatan mereka di Israel sebulan lalu, yang menggesa Israel mengambil tindakan bagi menangani krisis kemanusiaan yang meruncing di Gaza.

Encik Blinken berkata, masih ada tiga isu utama yang perlu ditangani oleh Israel – membenarkan penduduk awam kembali ke wilayah itu, memulihkan khidmat pengangkutan komersial dan melanjutkan tempoh gencatan senjata sementara di Gaza untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada para penduduk yang memerlukan.

“Dan sekali lagi, semua ini perlu dilaksanakan sepenuhnya dan perlu dikekalkan.

“Walaupun dengan semua langkah ini, keadaan masih begitu sukar dan dramatik sehingga untuk memulihkan sepenuhnya keadaan dan memenuhi keperluan rakyat, cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan menamatkan perang,” kata Encik Blinken.

Beliau juga berkata pelan jelas harus diwujudkan bagi membolehkan Israel berundur dari Gaza tanpa membenarkan Hamas kembali mentadbir wilayah itu.

“Tetapi selain mengakhiri perang, yang kami percaya sudah tiba masa untuk melaksanakannya, kami perlu melihat langkah-langkah kemanusiaan ini dilaksanakan sepenuhnya dan dikekalkan, terutamanya berkaitan tempoh gencatan senjata sementara yang lebih panjang,” katanya.

Israel melanjutkan serangan besar-besaran ke atas Carikan Gaza sejak 7 Okt 2023.

Serangan itu telah meragut nyawa lebih 43,700 dan menyebabkan wilayah itu hampir tidak dapat didiami.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita