Skip to main content

Dunia

Sudah jadi bapa hingga 600 anak, mahkamah Belanda larang lelaki derma lagi sperma

Sebuah mahkamah Belanda pada Jumaat (28 Apr) mengarahkan seorang penderma sperma, yang menurut hakim sudah 'menghasilkan' 500 hingga 600 anak di seluruh dunia, berhenti mendermakan spermanya dalam satu skandal yang menggemparkan negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Sudah jadi bapa hingga 600 anak, mahkamah Belanda larang lelaki derma lagi sperma

Bank sperma terbesar di dunia, Cryos, pada 15 Disember 2016 di Aarhus. (Gambar fail: AFP)

THE HAGUE: Sebuah mahkamah Belanda pada Jumaat (28 Apr) mengarahkan seorang penderma sperma, yang menurut hakim sudah 'menghasilkan' 500 hingga 600 anak di seluruh dunia, berhenti mendermakan spermanya dalam satu skandal yang menggemparkan negara itu.

Menurut garis panduan klinikal Belanda, seorang penderma tidak seharusnya menjadi penyumbang kepada lebih 25 kelahiran anak dalam 12 keluarga.

Lelaki Belanda berusia 41 tahun itu, dikenal pasti oleh akhbar de Telegraaf sebagai Jonathan Meijer, dilarang daripada mendermakan lebih banyak air mani kepada klinik, menurut perintah mahkamah. Dia boleh didenda €100,000 (S$111,000) bagi setiap pelanggaran yang dibuat.

Mahkamah juga mengarahkan Meijer menulis kepada klinik-klinik di luar negara untuk memintanya menghapuskan sebarang stok air mani yang disimpan, kecuali bagi dos yang diperuntukkan untuk ibu bapa yang sudahpun mempunyai zuriat hasil daripada spermanya.

Meijer juga tidak boleh menghubungi mana-mana bakal ibu bapa "dengan niat dia sanggup mendermakan spermanya... mengiklankan khidmatnya kepada bakal ibu bapa atau menyertai mana-mana pertubuhan yang menjalin hubungan dengan bakal ibu bapa," kata seorang hakim dalam penghakiman bertulis.

Keputusan dibuat selepas satu kes sivil oleh sebuah yayasan yang mewakili kepentingan anak penderma dan ibu bapa Belanda yang sudahpun menggunakan khidmat Meijer selaku penderma.

Mereka berhujah bahawa derma berterusan Meijer melanggar hak asasi hidup peribadi anak penderma, di mana keupayaan mereka untuk menjalin hubungan percintaan dihambat oleh kebimbangan mengenai sumbang mahram yang tidak disengajakan serta melahirkan anak.

Meijer sudah pun disenaraihitamkan di Belanda pada 2017 selepas diketahui bahawa dia mempunyai lebih 100 anak hasil pendermaan 'benihnya'.

Bagaimanpun, dia terus mendermakan air maninya ke klinik di luar negara, termasuk bank sperma Denmark, Cryos, yang beroperasi di peringkat antarabangsa.

Meijer juga terus menawarkan dirinya sebagai penderma di laman internet yang memadankan bakal ibu bapa dengan penderma sperma, kadangkala dengan menggunakan nama lain, menurut akhbar Algemeen Dagblad.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita