Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sudah dua tahun beraya di perantauan, lelaki M'sia ini beri kejutan kepada ibu

Anggaran Waktu Membaca:
Sudah dua tahun beraya di perantauan, lelaki M'sia ini beri kejutan kepada ibu

(Gambar: Tangkapan skrin video hazman.johari/TikTok)

Diterbitkan : 24 Apr 2023 11:11PM Dikemas Kini : 24 Apr 2023 11:13PM

RAWANG: Selepas dua tahun beraya di perantauan, Muhammad Hazman Johari akhirnya berkesempatan meraikan Aidilfitri dengan keluarga tercinta tahun ini.

Bagaimanapun, kepulangan Muhammad Hazman, 23 tahun, yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem Terendak, Melaka ke pangkuan keluarga tidak diketahui sesiapa kecuali kakaknya, Nor Fathiah Johari, 28 tahun.

Ia kerana beliau ingin memberi kejutan untuk keluarga terutama ibunya, Ta' Zainab Othman, 57 tahun, yang tidak tahu bahawa beliau akan pulang beraya.

Video kejutan itu mendapat perhatian netizen selepas Encik Muhammad Hazman memuat naiknya di TikTok, menurut Harian Metro. 

Menerusi video itu, kelihatan Encik Muhammad Hazman duduk di dalam kereta kemudian menghubungi bapanya, Johari Othman, 63 tahun, sebelum beliau masuk ke rumah untuk beri kejutan kepada ibunya.

Berkongsi kisah di sebalik video itu, Encik Muhammad Hazman berkata, beliau bukan sengaja tidak pulang beraya sebelum ini tetapi ada kekangan kerana menuntut ilmu dalam Bahasa Arab dan Pengajian Qiraat di Mesir.

Selepas pulang ke tanah air, Encik Muhammad Hazman direkrut sebagai anggota tentera pula jadi sekali lagi tidak dapat beraya dengan keluarga kerana mengikuti latihan ketenteraan di Pusat Latihan Asas TD (Pusasda), Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Alhamdulillah, tahun ini ada rezeki dapat cuti raya iaitu bermula 19 April lalu hingga 1 Mei depan jadi saya ambil kesempatan untuk pulang beraya.

"Seminggu sebelum tarikh itu lagi cuti saya sudah diluluskan namun saya tak beritahu keluarga kerana rancang nak beri kejutan.

"Hanya kakak (Nor Fathiah Johar) tahu, itu pun selepas dia dapat agak kerana saya tanya tema warna baju raya keluarga dengannya.

"Emak dan ayah tak tahu sampai saya tiba di rumah dan beri kejutan kepada mereka. Seronok sangat rasanya kerana tahun ini kami sekeluarga dapat berkumpul malah abang saya yang bekerja di Kuching, Sarawak juga pulang beraya di Semenanjung," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sekalipun tinggal berjauhan dengan keluarga, Encik Muhammad Hazman memberitahu Harian Metro, pesanan ibu dan bapanya sentiasa menjadi pegangannya sehingga kini.

Tambah Encik Muhammad Hazman, kesibukan tugas sebagai anggota tentera juga tidak akan membuatkannya lalai hingga lupa mendekatkan diri dengan Allah.

"Di sekolah dulu, saya seorang qari dan aktif menyertai pertandingan Tilawah al-Quran hingga terpilih mewakili negeri iaitu Selangor.

"Cuma, ditakdirkan saya jadi anggota tentera apabila sudah dewasa dan ia juga minat saya sejak kecil.

"Walau apa pun, ilmu agama didikan emak dan ayah serta yang dipelajari dulu tidak akan saya sia-siakan malah sering ingat pesanan emak untuk tidak tinggal solat, hormat orang dan berbakti dengan ibu bapa.

"Itu yang jadi sumber kekuatan saya dan selagi ada dalam bidang ini (ketenteraan), saya akan buat sehabis baik," katanya yang merancang menyambung pengajian dalam bidang ketenteraan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan