Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Subsidi minyak masak dikekalkan; bantu ringankan beban rakyat, kata Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
Subsidi minyak masak dikekalkan; bantu ringankan beban rakyat, kata Ismail Sabri

(Gambar: Facebook/Ismail Sabri Yaakob)

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia tidak menarik balik subsidi paket minyak masak seperti yang didakwa pihak tertentu.

Demikian jelas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung kekeliruan yang berlaku menyusuli penarikan semula subsidi minyak masak botol diumumkan sebelum ini.

Jelasnya, subsidi paket minyak masak dikekalkan bagi meringankan beban dialami rakyat terutama golongan B40 menyusuli peningkatan harga barangan ketika ini, lapor Astro AWANI. 

"Saya ingin menjelaskan kekeliruan berhubung subsidi minyak masak sejak semalam (21 Jun), ramai buat kenyataan agak mengelirukan.

"Yang mengatakan subsidi minyak masak ditarik balik, suka saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah RM4 billion (S$1 bilion) pada tahun 2022 ini, setakat ini.

"Kemungkinan ada pertambahan terutama apabila harga minyak kelapa sawit meningkat," jelasnya semasa sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu (22 Jun). 

Tambah Encik Ismail Sabri, subsidi yang diberikan itu jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

"Ini jauh lebih tinggi berbanding subsidi yang lepas sebanyak RM500 juta (S$157 juta) pada tahun 2020 dan RM2.2 billion (S$693 juta) pada tahun 2021.

"Minyak masak yang disubsidi kerajaan adalah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.

"Walaupun keperluan 55,00 tan metrik, kerajaan telah beri subsisdi 60,000 tan metrik bermakna terdapat 5,000 tan metrik lebihan," katanya lagi seperti dinukil Astro AWANI. 

Ujar Encik Ismail Sabri, ketika ini rakyat dapat menikmati manfaat subsidi yang diberikan kerajaan pada paket minyak masak dengan harga RM2.50 (S$0.79) sekilogram berbanding harga pasaran iaitu RM9.00 (S$2.84).

"Sebab itu kalau kita tengok pada peket plastik minyak masak tersebut akan tertulis untuk kegunaan rumah, jadi ini untuk kegunaan rumah terutama golongan B40.

"Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007 lagi, maknanya subsidi ini masih dilaksanakan kerajaan dan tidak ditarik balik seperti digambarkan sesetengah pihak di luar sana, itu tidak betul," tambahnya, seperti dipetik Astro AWANI. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan