Skip to main content

Dunia

Subsidi diesel bersasar perlu untuk selamatkan Malaysia: PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan Malaysia untuk melaksanakan subsidi diesel diperlukan untuk menyelamatkan negara, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin (10 Jun).

Tindakan perlu diambil, walaupun langkah-langkah itu tidak disukai, kata PM Anwar dalam perhimpunan bulanan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri.

Malaysia mula beralih dari subsidi menyeluruh yang mahal bagi memihak kepada pendekatan yang lebih bersasar yang mengutamakan warga yang memerlukan.

Malaysia, yang memberikan subsidi tinggi ke atas harga bahan api, minyak masak dan beras, antara barangan asas lain, menyaksikan bil subsidi yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun lalu di tengah-tengah kenaikan harga barangan keperluan, yang meninggalkan kesan terhadap tabung kerajaan.

Bil subsidi bagi diesel meningkat 10 kali ganda dari RM1.4 billion (S$401.5 juta) kepada RM14.3 bilion (S$4.1 juta) pada 2023.

"Siapa yang mahukan subsidi yang disasarkan ini? Kita perlu tahu apa sahaja yang kita lakukan, kita akan dikutuk secara meluas dengan pelbagai kutukan dan penipuan," kata PM Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

"Sebenarnya, kami telah berkata bahawa kesemua perdana menteri sebelum ini bersetuju dengan subsidi bersasar ini, tetapi tiada kemahuan politik untuk melaksanakannya kerana risiko yang terlibat. Bagaimanapun, untuk menyelamatkan negara, kami tiada pilihan."

Pada Ahad (9 Jun), Malaysia mengumumkan bahawa harga diesel di Semenanjung Malaysia akan meningkat 50 peratus kepada RM3.35 (S$0.96) bagi setiap liter, mulai Isnin.

Ini merupakan harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata Mei 2024, menurut formula Mekanisme Harga Automatik, kata Menteri Kewangan Kedua Malaysia Amir Hamzah Azizan.

"Kami melakukan ini kerana kebocoran (diesel bersubsidi) merentasi sempadan kami adalah besar," tambahnya.

Diesel akan kekal pada harga RM2.15 (S$0.62) bagi setiap liter di Sabah dan Sarawak.

Harga diesel bagi golongan berpendapatan rendah, termasuk nelayan dan petani, serta bagi kegunaan bas sekolah dan ambulans, akan kekal bersubsidi, kata Encik Amir Hamzah, yang menambah bahawa pelan baharu itu tidak akan menyebabkan "peningkatan harga".

Potongan subsidi diesel dijangka membantu kerajaan menjimatkan sekitar RM4 bilion (S$1.15 bilion) setiap tahun, dan langkah ini bakal memperkukuhkan posisi kewangan dalam jangka masa panjang, tambahnya.

Penganalisis Oh Ei Sun dari Pusat Kajian Pasifik Malaysia memberitahu AFP bahawa "keadaan kewangan mesti agak mendesak untuk kerajaan ini mengambil langkah yang tidak popular itu".

Malaysia dijangka membelanjakan RM52.8 bilion (S$15.1 bilion) terhadap subsidi dan bantuan sosial tahun ini, lebih kurang berbanding RM64.2 bilion (S$18.4 bilion) pada 2024, berdasarkan bajet 2024.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita