Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suasana tawaf di Makkah tenang, terkawal meski semakin sibuk

Sudah hampir dua tahun pakej umrah untuk warga Singapura tidak ditawarkan akibat pandemik.

Anggaran Waktu Membaca:

MAKKAH: Sudah hampir dua tahun pakej umrah untuk warga Singapura tidak ditawarkan akibat pandemik.

Namun semalam (25 Okt), 13 wakil dari Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) akhirnya dapat mengerjakan umrah dalam keadaan normal baru di Arab Saudi.

Lawatan tujuh hari AMTAS ke Saudi itu bertujuan meninjau protokol mengerjakan umrah, sebelum pihak GSA mula menawarkan semula pakej umrah bagi jemaah Singapura, menjelang November depan.

Suasana tawaf di Masjidil Haram pada 11.00 malam tenang dan terkawal apabila wartawan BERITAmediacorp mengerjakan umrah yang pertama sejak sekian lama.

Pelekat tanda tentang penjarakan selamat masih lagi kelihatan di atas lantai di sekeliling Kaabah.

Namun tiada lagi peraturan untuk berjarak semasa bertawaf atau bersolat di Saudi, sejak minggu lalu.

Apa yang jelas, dengan pengumuman kebenaran kapasiti penuh di Masjidil Haram, kawasan masjid paling suci dalam Islam itu, sekarang bertambah sibuk meskipun sekitar waktu tengah malam semalam.

Tetapi keadaannya masih sangat teratur kerana para jemaah umrah masih perlu membuat tempahan slot meskipun tiada lagi had untuk berumrah berapa kali sehari.

Hanya beberapa jam sebelum itu, beberapa jemaah menghadapi kesukaran mengakses aplikasi Eatmarna.

Mujur, slot umrah pertama kami sebagai pemegang visa umrah sudah dapat dipastikan.

Tanpa akses kepada app bijak itu, seseorang tidak boleh menempah slot umrah tambahan ataupun solat fardhu di Masjidil Haram.
Selain isu teknikal, ada juga kebingungan sama ada tawaf sunat masih boleh dilakukan.

"Boleh dengan syarat yang pertama mereka harus lakukan tempahan di Tawakkalna, Eatmarna dan memasuki dalam kawasan Masjidil Haram memakai ihram.

"Untuk tempahan dari segi umrah berkali kali memang tiada masalah tetapi harus mereka habiskan umrah slot yang pertama selepas itu beri masa dalam sejam dua jam untuk booking the next slot," kongsi Ustaz Muhd Nazer Monet dari Thoha Travel & Tours.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan