Suami tergamak tanam isteri hidup-hidup kerana minta cerai
Gara-gara meminta cerai, seorang lelaki di Mexico tergamak menanam isterinya hidup-hidup.

Gambar fail. (Gambar: Scott Olson/AFP)
MEXICO CITY: Gara-gara meminta cerai, seorang lelaki di Mexico tergamak menanam isterinya hidup-hidup.
Menurut laporan akhbar The Sun, Rene N dan enam samseng membuang mayat Sandra Luz Diaz Morales ke dalam sebuah kubur di Tuxtla Gutierrez, Chiapas di Mexico pada 2014.
Pendakwa raya berkata, dia membunuh isterinya semata-mata kerana tidak mahu mengeluarkan nafkah sekiranya mereka bercerai.
"Rene N dan abangnya, Gehu N, mengupah lima lelaki supaya membelasah Cik Diaz Morales ketika beliau sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.
"Samseng tersebut berpura-pura melanggar mangsa untuk memastikan beliau keluar daripada keretanya," ujarnya.
Kelima-lima samseng itu dikenai pasti sebagai Concepcion N, Jose Luis N, Dulce Maria N, Johan Mauricio N dan Edgar Alberto N.
Mereka kemudian menggali lubang di kawasan hartanah milik Gehu N sebelum membuang mayat mangsa ke dalam 'kubur' dengan tangannya diikat, lapor The Sun.
Selain itu, mereka turut melemparkan konkrit untuk memastikan mangsa tidak dapat melarikan diri.
Mahkamah mendapati Rene N mengarahkan pembunuhan itu yang dirancang bersama abangnya.
The Sun melaporkan bahawa mereka dijatuhi hukuman penjara selama 51 tahun dan tiga bulan di penjara El Amate. Mereka juga diarah membayar ganti rugi £13,129 (S$23,120) kepada keluarga mangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.