Suami Speaker AS Nancy Pelosi diserang; motif serangan belum jelas

Keadaan di hadapan kediaman Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi susuli serangan terhadap suaminya pada 28 Oktober 2022. (Gambar: Justin Sullivan / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images menerusi AFP)
Suspek sudahpun diberkas, menurut pihak berkuasa.
Encik Paul Pelosi, 82 tahun, dikejarkan ke hospital dan dijangka pulih sepenuhnya, dedah pejabat Cik Pelosi.
Speaker Parti Demokratik itu, iaitu orang kedua di bawah Presiden AS, berada di Washington dengan pasukan pengawal peribadinya semasa serangan tersebut berlaku, menurut Polis Capitol AS.
Menurut Polis Capitol AS, motif di sebalik serangan itu sedang disiasat. Associated Press melaporkan bahawa serangan itu tidak dilakukan secara rambang. Sebaliknya, pelaku memang menyasarkan kediaman mereka.
Pejabat Speaker itu menjelaskan bahawa Paul Pelosi "diserang dengan cara yang ganas".
Motif serangan masih belum jelas, termasuk bagaimana pelaku memasuki kediaman tersebut. Serangan itu berlaku kurang dua minggu sebelum pilihan raya pertengahan penggal yang akan berlangsung pada 8 Nov dengan Dewan Perwakilan dan Senat menjadi pertaruhan.
Presiden Joe Biden sudahpun menghubungi Cik Pelosi pada awal Jumaat (28 Okt) bagi memberikan sokongannya kepada Cik Pelosi, menurut jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre.
Polis Capitol AS, yang bertanggungjawab melindungi Kongres menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerja rapat dengan FBI dan Polis San Francisco untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, Polis Bandar New York memberi amaran pada Khamis (27 Okt) tentang para pelampau yang mungkin menyasarkan ahli politik, kegiatan politik dan pusat mengundi menjelang pilihan raya pertengahan penggal itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.