Skip to main content

Dunia

Suami isteri ini agih makanan, sediakan keperluan asas untuk warga M'sia terkandas di S'pura

"Kami juga pernah berasa susah.. tidur beralaskan kotak... jadi kami memahami apa yang dilalui sebahagian rakyat Malaysia di sini."

Anggaran Waktu Membaca:
Suami isteri ini agih makanan, sediakan keperluan asas untuk warga M'sia terkandas di S'pura

Cik Kamisah Sooki. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 05 Nov 2020 10:33PM Dikemas Kini : 05 Nov 2020 10:36PM

SINGAPURA: "Kami juga pernah berasa susah.. tidur beralaskan kotak... jadi kami memahami apa yang dilalui sebahagian rakyat Malaysia di sini."

Demikian kata-kata Cik Kamisah Sooki, rakyat Singapura yang bermurah hati mengagihkan barang keperluan harian kepada warga Malaysia.

Beliau dan suaminya meletakkan barangan itu di hadapan pintu rumahnya sekitar jam 8.00 malam, sebelum menguar-uarkan mengenai perkara itu di laman Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers, yang mempunyai hampir 70,000 ahli.

"Kepada rakyat Malaysia di Singapura.. sesiapa yang sudi boleh ambil sahaja yang perlu di depan pintu rumah saya. Saya dah sediakan plastik seberapa banyak yang kalian mahu ambil," catat beliau di laman Facebook bersama alamat rumahnya.

"Ada beberapa keping piza untuk anda malam ni ye," tulisnya dengan menggunakan akaun Facebooknya Karlmizah Nordy malam tadi.

Cik Kamisah, 55, menambah lagi barangan makanan itu selepas satu jam apabila mendapati tindakannya itu menerima sambutan yang baik.

Ketika dihubungi Bernama, Cik Kamisah dan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata beliau juga terpisah dengan empat anaknya di Malaysia sejak pergerakan di sempadan kedua-dua negara diperketatkan akibat COVID-19 sejak Mac lalu.

"Saya mempunyai rumah sewa di Kampung Melayu Majidee. Setiap minggu saya akan ke Johor Bahru. Ketika ini, anak bongsu menetap di situ.

"Setiap tiga bulan saya akan menziarahi tiga lagi anak saya yang masing-masing (berada) di Kota Bharu, Kelantan; Kulim, Kedah; dan Kota Tinggi, Johor.

"Jadi saya amat memahami perasaan terpisah dengan keluarga. Saya pun rindukan anak-anak dan cucu-cucu," katanya yang ketika ini menyewa di Blok 180C Marsiling Road. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita