Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Strok haba bukan punca kematian kanak-kanak 12 tahun di Kluang

Anggaran Waktu Membaca:
Strok haba bukan punca kematian kanak-kanak 12 tahun di Kluang

(Gambar: Sinar Harian)

Diterbitkan : 03 May 2023 09:36AM Dikemas Kini : 03 May 2023 10:47AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan kematian seorang kanak-kanak berumur 12 tahun di Kluang, Johor disebabkan oleh strok haba seperti dilaporkan dalam media.

Sebaliknya, menurut Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut, punca kematian disebabkan oleh renjat septik akibat meningoencephalitis atau jangkitan pada otak, lapor Astro AWANI. 

Tegasnya, siasatan yang dijalankan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang mendapati bahawa kanak-kanak itu  dimasukkan ke wad kerana mengalami sawan selepas demam panas sehari sebelum itu selain mempunyai gejala batuk selama tiga hari.

"JKNJ memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai," katanya dalam kenyataan yang dipetik Astro AWANI pada Selasa (4 Mei). 

Dr Mohtar mewakili JKNJ merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.

Awal dari itu, Airiel Syahren Syahrol Azmi meninggal dunia selepas mengalami sawan dan demam panas.

Sebelum ini, hanya satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun manakala kematian bayi berusia 19 bulan di negeri itu bukan disebabkan strok haba seperti dilaporkan media,  menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, memberitahu Bernama pada 28 April bahawa hasil siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati penyebab kematian kanak-kanak berusia 11 tahun adalah 'heat stroke with severe dehydration'.

”Kematian bayi berusia 19 bulan pula disebabkan 'severe dehydration with underlying sepsis' dan bukan disebabkan strok haba sebagaimana laporan media,” katanya dalam kenyataannya ketika itu.

Menurut beliau, sehingga hari ini terdapat lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan dengan tiga kes dilaporkan di Sarawak melibatkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba.

Dr Muhammad Radzi berkata pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, golongan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Beliau berkata gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, rasa mual dan keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri atau koma.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai terutamanya mereka yang meraikan Aidilfitri atau bercuti ketika cuaca panas ini supaya mengambil langkah pencegahan termasuk merancang aktiviti beraya atau ziarah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang.

“Banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan. Kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan.

“Golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas, perlu dipastikan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi serta awasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari,” katanya. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan