Stesen minyak di Iran lumpuh akibat serangan siber
Seluruh operasi stesen minyak di Iran lumpuh akibat serangan siber, sekali gus menyebabkan banyak kenderaan terkandas semasa beratur untuk mengisi minyak.

(Gambar: AP)
TEHRAN: Seluruh operasi stesen minyak di Iran lumpuh akibat serangan siber, sekali gus menyebabkan banyak kenderaan terkandas semasa beratur untuk mengisi minyak.
Menurut laporan agensi media ISNA, penduduk Iran yang ingin mengisi minyak menggunakan kad subsidi yang disediakan oleh pemerintah akan menerima mesej ‘Cyberattack 64411’.
Lima angka itu dipercayai merujuk kepada nombor telefon pejabat pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Malah, nombor 64411 itu sendiri pernah digunakan dalam serangan siber di Iran pada Julai 2021.
Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian yang menimbulkan keadaan huru-hara di seluruh negara itu.
Sebahagian besar daripada rakyat Iran bergantung penuh kepada bekalan minyak bersubsidi yang disediakan pemerintah.
Kejadian serangan siber baru-baru ini serupa dengan satu lagi serangan yang berlaku beberapa bulan lalu yang seolah-olah mencabar pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei ketika ekonomi negara terjejas oleh sekatan Amerika Syarikat.
Masalah ekonomi itu bertambah buruk apabila Amerika Syarikat dan Iran masih belum duduk semeja bagi membincangkan semula perjanjian nuklear Tehran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.