Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Status 'wilayah' bagi Kashmir India gugur secara rasmi

Wilayah India, Kashmir, yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada penganut Islam, dibahagi-bahagi secara rasmi pada Khamis (31 Okt) setelah hampir tiga bulan kehilangan status autonomi dalam satu langkah yang mencetuskan keganasan dan menegangkan hubungan dengan seteru ketatnya, Pakistan.

Anggaran Waktu Membaca:
Status 'wilayah' bagi Kashmir India gugur secara rasmi

Seorang pegawai keselamatan mengawasi jalan raya semasa tempoh perintah berkurung di Srinagar pada 11 Ogos 2019. (Gambar: Sajjad HUSSAIN/AFP)

Diterbitkan : 31 Oct 2019 11:29PM Dikemas Kini : 31 Oct 2019 11:53PM

SRINAGAR: Wilayah India, Kashmir, yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada penganut Islam, dibahagi-bahagi secara rasmi pada Khamis (31 Okt) setelah hampir tiga bulan kehilangan status autonomi dalam satu langkah yang mencetuskan keganasan dan menegangkan hubungan dengan seteru ketatnya, Pakistan.

Langkah tersebut yang diumumkan awal Ogos disusuli dengan tindakan tegas India yang mengerahkan puluhan ribu tentera tambahan, menjadikan Jammu dan Kashmir tidak lagi sebuah wilayah. Sebaliknya ia menjadi dua kawasan pentadbiran yang diperintah langsung dari New Delhi.

Perdana Menteri India Narendra Modi pada Khamis mengalu-alukan "masa depan cerah" bagi kawasan Himalaya yang dipertikai itu.

Sementara itu penguasa tempatan di Kashmir mengerahkan puluhan ribu askar dan mengeluarkan amaran berjaga-jaga bagi bantahan anti-India dan serangan pemberontak.

Kashmir adalah "satu-satunya tempat di mana pengganasan membunuh sekitar 40,000 orang sepanjang tiga dekad lalu. Begitu ramai ibu yang kehilangan anak ... Berapa lama lagi perlu mereka saksikan kematian orang tidak bersalah?" kata Encik Modi.

DIBAHAGI DUA SEJAK 1947

"Kami gembira kerana Jammu dan Kashmir dan Ladakh bergerak ke arah masa depan baru bermula hari ini. Ladakh dan Jammu dan Kashmir hari ini mengorak langkah ke arah masa depan mereka yang cerah," tambah Encik Modi.

Kashmir dibahagi dua antara India dan Pakistan sejak 1947 menjadi punca dua peperangan dan beberapa pertempuran antara kedua-dua seteru yang bersenjata nuklear.

Pertempuran terbaru berlaku pada Februari di mana kedua-dua pihak saling membalas serangan udara.

Pemerintah nasionalis Hindu pimpinan Encik Modi mengumumkan bermula 31 Oktober, wilayah itu akan menjadi apa yang dipanggil kawasan kesatuan (union territories): Ladakh di sebelah timur bersempadan dengan China - yang juga membuat tuntutan bertindih ke atas kawasan itu - dan Jammu dan Kashmir di sebelah barat.

New Delhi mempunyai lebih banyak hak dalam hal ehwal pentadbiran keseluruhan kawasan kesatuan, yang dianggap sebagai unit tadbir urus terendah di India. Sekarang terdapat sembilan kawasan kesatuan dan 28 negeri.

Langkah ini juga menghapus hak tanah eksklusif penduduk Kashmir, membolehkan penduduk dari kawasan lain membeli hartanah. Penduduk tempatan mengesyaki bahawa ini adalah sebahagian daripada matlamat Encik Modi untuk merubah demografi rantau ini.

TUDUHAN PENDERAAN

Hampir tiga bulan selepas langkah mengejutkan Encik Modi itu, yang dibuat hanya selang beberapa minggu setelah menang besar dalam pilihan raya, ratusan ahli politik Kashmir dan yang lain masih kekal dalam tahanan, kebanyakannya tanpa pertuduhan.

Secara keseluruhannya, beberapa ribu orang ditahan - termasuk kanak-kanak semuda sembilan tahun - dengan kebanyakannya kemudian dibebaskan. Terdapat juga tuduhan penderaan oleh tentera India, namun ia menyangkalnya.

Akses kepada sekitar separuh telefon bimbit hanya dipulihkan pada 14 Oktober dan khidmat internet masih disekat bagi lebih tujuh juta penduduk lembah Kashmir.

Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB di Geneva hari ini menyatakan pihaknya "amat prihatin" terhadap situasi itu.

"Kami menggesa pihak berkuasa India untuk memulihkan keadaan dan memulihkan hak-hak yang kini disekat," menurut suruhanjaya tersebut.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan