Skip to main content

Dunia

Starmer enggan tunduk pada desakan letak jawatan; ikrar untuk terus tadbir Britain

Perdana Menteri Keir Starmer menolak desakan supaya beliau meletak jawatan pada Selasa (12 Mei), sambil memberitahu para menteri bahawa beliau akan “terus mentadbir” meskipun berdepan tempoh 48 jam yang “menggugat kestabilan” susuli gesaan yang semakin meningkat agar beliau menetapkan jadual bagi pengundurannya menyusuli kekalahan teruk dalam pilihan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Starmer enggan tunduk pada desakan letak jawatan; ikrar untuk terus tadbir Britain

Perdana Menteri Britain Keir Starmer bercakap semasa satu sidang media di Downing Street di London, Britain, pada 1 April 2026. (Gambar: REUTERS/Frank Augstein)

Diterbitkan : 12 May 2026 11:04PM
LONDON: Perdana Menteri Keir Starmer menolak desakan supaya beliau meletak jawatan pada Selasa (12 Mei), sambil memberitahu para menteri bahawa beliau akan “terus mentadbir” meskipun berdepan tempoh 48 jam yang “menggugat kestabilan” susuli gesaan yang semakin meningkat agar beliau menetapkan jadual bagi pengundurannya menyusuli kekalahan teruk dalam pilihan raya.

Dalam satu mesyuarat bersama Kabinetnya, Encik Starmer, yang memegang jawatan sebagai perdana menteri kurang dari dua tahun, mengulangi, walaupun beliau bertanggungjawab atas salah satu kekalahan pilihan raya paling buruk bagi Parti Buruh, tiada langkah rasmi diambil untuk mencetuskan cabaran dari segi kepimpinan.

“48 jam yang lalu telah menggugat kestabilan pemerintah dan itu membawa kos ekonomi yang benar kepada negara dan keluarga-keluarga kita,” kata Encik Starmer kepada para menteri, menurut pejabatnya di Downing Street.

“Negara mengharapkan kami untuk terus mentadbir. Itulah yang sedang saya lakukan dan apa yang mesti kita lakukan sebagai Kabinet.”

Bon kerajaan Britain mencatatkan sedikit kenaikan selepas komen Encik Starmer itu, namun masih kekal pada tahap negatif bagi dagangan hari tersebut.

Ketegasan Encik Starmer itu jelas berbeza daripada sentimen yang dikongsi ramai dalam Parti Buruhnya.

Pada Selasa, seorang menteri meletak jawatan selepas beberapa pembantu menteri turut meninggalkan kerajaan. Lebih 80 anggota parlimen Parti Buruh juga secara terbuka menggesa Encik Starmer untuk menetapkan tarikh peletakan jawatannya supaya parti itu dapat melantik pemimpin baharu secara teratur.

Encik Starmer cuba mengukuhkan kedudukannya pada Isnin apabila beliau bertekad untuk bertindak dengan lebih berani dan tangkas dalam menangani pelbagai masalah yang dihadapi Britain.

Beliau berkata negara itu tidak akan memaafkan Parti Buruh yang berhaluan tengah kiri jika ia memulakan perebutan kepimpinan hanya dua tahun selepas kemenangan besar majoriti parlimennya yang sepatutnya menamatkan kekecohan politik yang melanda negara itu sejak Britain mengundi untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) sedekad lalu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita