Skip to main content

Dunia

Sri Lanka keluarkan amaran tanah runtuh baharu

Pihak berkuasa Sri Lanka mengeluarkan amaran baharu berhubung risiko tanah runtuh pada Isnin (8 Dis), susulan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan-kawasan yang sudah pun terjejas teruk akibat Taufan Ditwah pada minggu lalu.
Anggaran Waktu Membaca:
Sri Lanka keluarkan amaran tanah runtuh baharu
Seorang lelaki memeriksa kerosakan akibat banjir di Gampola, Sri Lanka. (Gambar: AP)
COLOMBO: Pihak berkuasa Sri Lanka mengeluarkan amaran baharu berhubung risiko tanah runtuh pada Isnin (8 Dis), susulan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan-kawasan yang sudah pun terjejas teruk akibat Taufan Ditwah pada minggu lalu.

Menurut Pusat Pengurusan Bencana (DMC), hujan monsun yang masih berlarutan menyebabkan cerun bukit menjadi tidak stabil, khususnya di kawasan pergunungan tengah dan tanah tinggi barat laut negara itu.

Keadaan tersebut meningkatkan risiko tanah runtuh susulan banjir besar dan ribut yang dianggap paling buruk melanda Sri Lanka dalam tempoh satu abad.

Setakat ini, pemerintah mengesahkan sekurang-kurangnya 618 kematian, termasuk 464 mangsa di kawasan pengeluar teh utama di tengah negara itu.

Seramai 209 orang masih dilaporkan hilang, manakala lebih dua juta penduduk, hampir 10 peratus daripada penduduk negara, terjejas akibat bencana tersebut.

Pada masa yang sama, lebih 75,000 rumah dilaporkan rosak termasuk hampir 5,000 yang musnah sepenuhnya.

Dalam pada itu, jumlah penghuni di kem-kem perlindungan yang dikendalikan pemerintah kini menurun kepada 100,000 orang, berbanding 225,000 pada puncak banjir, dengan air mula surut di beberapa kawasan.

Bantuan kecemasan terus digerakkan ke kawasan yang terputus hubungan, dengan penggunaan helikopter dan pesawat tentera untuk menghantar bekalan makanan dan perubatan.

Tentera Udara Sri Lanka turut memaklumkan bahawa mereka menerima bantuan udara dari Myanmar pada Ahad, sebagai sebahagian daripada sokongan antarabangsa yang semakin meningkat.

Sebagai langkah pemulihan, pemerintah Sri Lanka pada Jumaat lalu mengumumkan pakej pampasan besar-besaran bernilai sehingga AS$7 bilion (S$9.07 bilion).

Di bawah skim itu, mangsa-mangsa bencana ditawarkan sehingga 10 juta rupee (S$42,013.91) untuk membeli tanah selamat dan membina rumah baharu.

Pampasan sebanyak AS$3,300 (S$4,275.38) turut diberikan bagi setiap kematian atau kecacatan kekal yang dialami.

Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan menggesa para penduduk di kawasan berisiko tinggi untuk berpindah ke tempat selamat bagi mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih besar.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita