Skip to main content

Dunia

Sri Lanka berdepan wabak denggi paling buruk dalam hampir sedekad

Anggaran Waktu Membaca:
Sri Lanka berdepan wabak denggi paling buruk dalam hampir sedekad

Papan putih dengan maklumat umum tentang pesakit denggi di dalam wad di Hospital Besar Daerah di Negombo, Sri Lanka, 16 Julai 2026. (Gambar: REUTERS/ Thilina Kaluthotage)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 03:31PM
COLOMBO: Perkhidmatan kesihatan awam dan hospital Sri Lanka sedang berhadapan dengan wabak denggi bawaan nyamuk yang paling buruk dalam hampir sedekad, dan meminta bantuan angkatan tentera negara pulau itu untuk membantu membendung penularan penyakit tersebut.

Usaha-usaha tersebut merangkumi dron tentera udara yang mengesan air bertakung di atas bumbung selepas hujan monsun, hingga angkatan tentera dan polis turut membantu memeriksa rumah, tapak pembinaan dan sekolah dalam kempen untuk membasmi tapak pembiakan nyamuk.

Dengan 53 kematian dan 76,044 jangkitan sejak ia bermula pada Januari, bilangan mereka yang dijangkiti, tersebar lebih luas oleh strain yang lebih mudah menular, menghampiri jumlah lebih 100,000 yang dicatatkan oleh wabak 2017.

"Keadaan ini mencabar bagi para doktor kerana jumlah pesakit meningkat dengan begitu pantas," kata perunding Lalindra Dias di Negombo, salah satu kawasan yang paling terjejas, terletak kira-kira 35 km utara bandar utama Colombo.

"Tiba-tiba, hospital menerima kemasukan pesakit dalam jumlah yang besar," tambah Encik Dias, yang hospital besar daerahnya merawat hampir 1,800 pesakit dalam masa kurang daripada dua bulan sejak Jun, meningkat daripada kira-kira 1,050 pada 2025.

KEMASUKAN KES PADA JULAI

Hospital tergesa-gesa menambah katil, menukar wad untuk menjaga pesakit dan meningkatkan waktu kerja doktor dan jururawat dalam usaha merawat kemasukan lebih 18,000 kes dalam dua minggu pertama Julai, menurut pihak berkuasa kesihatan.

Jumlah 21,537 jangkitan pada Jun, biasanya dengan gejala demam yang tinggi, sakit badan, dan kehilangan selera makan, adalah lebih dua kali ganda pada Mei, tetapi Sri Lanka masih belum memperkenalkan vaksin.

Tekanan yang meningkat datang selepas taufan Ditwah, bencana alam yang paling buruk di negara itu, yang memusnahkan prasarana kritikal dan kemudahan kesihatan pada akhir November, menyebabkan kerugian yang dianggarkan oleh Bank Dunia bernilai AS$1.4 bilion.

Keadaan itu mengancam untuk mengatasi kelebihan Sri Lanka yang mempunyai empat katil bagi setiap 1,000 orang, iaitu melebihi nisbah purata global kurang daripada tiga, menurut data Bank Dunia.

Pekerja kesihatan awam "berada di ambang keupayaan mereka", kata Kapila Kannangara, pemangku ketua pengarah Unit Kawalan Denggi Negara.

"Bilangan pesakit adalah tinggi, dan kes yang teruk adalah tinggi," tambahnya, kerana kira-kira 75% kes dikaitkan dengan strain DENV-2 yang lebih mudah merebak dengan pantas.

Pegawai kesihatan menjangkakan, jangkitanu yang biasanya meningkat akibat musim hujan, akan berkurangan apabila hujan monsun melemah pada Ogos, tetapi memberi amaran ia boleh meningkat dari November apabila hujan kembali ke pulau itu pada musim monsun tahunan keduanya.
Sumber : Reuters/AA/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita