Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

S'pura tidak beri layanan istimewa & kekebalan diplomatik kepada Gotabaya Rajapaksa

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tidak beri layanan istimewa & kekebalan diplomatik kepada Gotabaya Rajapaksa

Gotabaya Rajapaksa pada 1 Nov 2021. (Gambar: AFP/Pool/Andy Buchanan)

SINGAPURA: Mantan Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa tidak diberikan sebarang keistimewaan, kekebalan diplomatik atau layanan khas oleh pemerintah Singapura, menurut Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan pada Isnin (1 Ogos).

Dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan dari Anggota Parlimen (AP) Gerald Giam (WP-Aljunied) mengenai ketibaan Encik Rajapaksa di Singapura, Dr Balakrishnan berkata: "Secara amnya, pemerintah Singapura tidak memberikan keistimewaan, kekebalan diplomatik dan layanan khas kepada mantan ketua negara atau pemerintah.

"Begitu juga bagi mantan presiden Gotabaya Rajapaksa yang tidak diberikan sebarang keistimewaan, kekebalan atau layanan khas."

Encik Rajapaksa tiba di Singapura bagi "lawatan peribadi" pada 14 Jul, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) sebelum ini.

Mediacorp difahamkan pas lawatan jangka pendeknya dilanjutkan selama 14 hari, bermakna beliau boleh terus berada di Singapura sehingga 11 Ogos.

Beliau disingkirkan daripada jawatan presiden menyusuli krisis ekonomi negaranya dan melarikan diri ke Maldives sebelum tiba di Singapura.

Jurucakap Kabinet Sri Lanka berkata minggu lalu bahawa mantan presiden itu tidak bersembunyi dan akan diberi layanan selaras dengan statusnya sebagai mantan presiden sekiranya beliau pulang ke Sri Lanka.

Beliau meletak jawatan sebagai presiden sejurus selepas tiba di Singapura dan mantan perdana menteri Ranil Wickremesinghe mengangkat sumpah sebagai presiden seminggu kemudian.

Dalam soalan berasingan di Parlimen pada Isnin, AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam tentang respons pemerintah terhadap keprihatinan Singapura akan menjadi "destinasi bagi pelarian politik".

Encik Shanmugam berkata dalam jawapan bertulisnya: "Warga asing yang memiliki dokumen perjalanan yang sah dan memenuhi syarat-syarat kemasukan akan dibenarkan memasuki Singapura. Kami juga sudah tentu berhak untuk menolak kemasukan warga asing jika kami menilainya adalah untuk kepentingan negara kita.

"Jika warga asing yang memasuki Singapura dikehendaki oleh pemerintahnya, dan pemerintahnya sudah membuat permintaan, Pemerintah akan menghulurkan bantuan mengikut undang-undang."

Beliau juga menambah para pelawat yang melakukan persinggahan di Singapura "secara teknikal belum memasuki" negara ini jika mereka terus berada dalam kawasan persinggahan dan tidak melalui pelepasan imigresen.

"Ini undang-undang antarabangsa. Bagaimanapun, jika kami sedia maklum tentang kehadiran individu-individu yang tidak diingini, kami mungkin tetap akan memeriksa mereka dan mengambil tindakan sewajarnya," menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri itu.

Pemerintah mungkin memberi keselamatan tambahan bergantung kepada status lalu dan sekarang, mengambil kira risiko keselamatan kepada individu dan orang ramai, kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Undang-Undang.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan