Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

S'pura rakan strategik utama pulihkan ekonomi Johor pasca COVID-19, kata Menteri Besar

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Singapura disifatkan sebagai rakan strategik utama Johor dalam usaha memulihkan ekonomi negeri itu pasca pandemik COVID-19, kata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata ia disebabkan Singapura merupakan antara pelabur terbesar di Malaysia, terutamanya di Johor.

Perkara itu dibincangkan beliau menerusi panggilan video dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura Desmond Lee hari ini (5 April).

Encik Lee turut mengucapkan tahniah kepada Onn Hafiz atas kelancaran pembukaan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura pada 1 April lalu.

“Antara perkara yang kami bincangkan ialah langkah-langkah proaktif bagi meningkatkan hubungan antara rakyat Johor dan Singapura, lebih-lebih lagi selepas pintu sempadan dibuka.

“Kami juga berbincang serba sedikit berkenaan agenda “Joint Ministerial Committee Iskandar Malaysia-Singapura” yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed, Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran, Encik Lee dan saya sendiri,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke Facebook rasminya.

Onn Hafiz berkata Johor dan Singapura memang mempunyai hubungan yang baik dan erat sejak sekian lama, malah, ramai rakyat Singapura dan Bangsa Johor mempunyai pertalian saudara.

“Semoga hubungan erat ini akan terus diperkukuhkan pada masa akan datang,” katanya.

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan