S'pura Nombor 1 antara destinasi bukan OIC bagi destinasi wisata mesra Muslim

(Gambar: TODAY)
KUALA LUMPUR: Singapura terus menjadi destinasi pelancongan mesra Muslim nombor satu dalam kalangan destinasi-destinasi bukan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Tangga kedua diduduki oleh Taiwan, disusuli oleh Thailand dan United Kingdom (UK).
Demikian menurut senarai Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating 2022.
Malaysia pula sekali lagi mendahului senarai GMTI 2022 bagi destinasi percutian mesra Muslim terbaik untuk pelancong Muslim.
Turki, Arab Saudi dan Indonesia berkongsi kedudukan kedua senarai tersebut.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating & HalalTrip Fazal Bahardeen berkata GMTI 2022 menyenaraikan 138 destinasi berhubung cara untuk memanfaatkan pasaran pelancongan Muslim bagi mempercepatkan pemulihan.
“Ketibaan pelancong Muslim antarabangsa mencecah 160 juta pada 2019 dan selepas gangguan pada 2020 dan 2021, kami mengunjurkan ketibaan pelancong Muslim akan mencecah 140 juta pada 2023 dan kembali kepada paras pada 2019 iaitu 160 juta pada 2024.
“Unjuran sebelum pandemik sebanyak 230 juta ketibaan menjelang 2026 kini akan dicapai pada 2028 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak US$225 bilion (S$309.32 bilion),” katanya semasa pelancaran laporan GMTI Mastercard-CrescentRating 2022 pada Rabu (1 Jun).
Acara itu diadakan sempena Halal In Travel-Global Summit 2022. Persidangan online itu berlangsung dari 31 Mei hingga 2 Jun 2022.
Berdasarkan situasi semasa di Ukraine, laporan itu menyenaraikan 138 destinasi berikutan kedudukan Rusia dan Ukraine yang sudah disemak. Destinasi ini kini menyumbang lebih 98 peratus daripada ketibaan pelawat Muslim.
Encik Fazal berkata GMTI menjejaki kesihatan dan pertumbuhan destinasi pelancongan mesra Muslim dalam empat bidang strategik iaitu akses, komunikasi, alam sekitar dan perkhidmatan.
Beliau mendedahkan bahawa Gen Z, Milenial dan wanita merupakan demografi yang paling berpengaruh serta berkembang dalam populasi Islam. Pelancong wanita, tambah beliau, mewakili antara segmen yang paling pesat berkembang dalam pasaran pelancongan Muslim.
Sementara itu, Presiden Bahagian Mastercard untuk Asia Tenggara Safdar Khan berkata Mastercard komited untuk menyokong pemulihan penuh dan berdaya tahan bagi pelancongan global dalam semua profil pelancong.
“Itu sebabnya kami sentiasa bekerjasama dengan rakan kami - HalalTrip and CrescentRating - untuk membangunkan pandangan bagi perniagaan dan kerajaan serta membina keupayaan baru untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan menarik,” katanya.
Malaysia kekal sebagai destinasi utama dalam GMTI sejak ia dilancarkan pada 2015.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.