Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

S'pura dijangka buka hospital di Sarawak; perkasa industri pelancongan perubatan

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura dijangka buka hospital di Sarawak; perkasa industri pelancongan perubatan

Gambar hiasan. (Gambar: Pexels)

KUCHING: Singapura akan membuka sebuah hospital di Sarawak sebagai salah satu strategi untuk memaksimumkan khidmat kesihatannya melangkaui sempadan negara itu.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, selain pertukaran mata wang yang rendah, Singapura turut menilai impak jangka panjang kepada industri pelancongan kesihatan Singapura selepas pengoperasian ibu kota Indonesia, Nusantara di Kalimantan kelak.

Jelasnya, pendaftaran sesi rawatan yang memberangsangkan oleh penduduk Kalimantan di negara itu memungkinkan Singapura untuk membuka sebuah fasiliti perubatan di Sarawak di samping hospital swasta lain.

“Kini kita memiliki beberapa hospital swasta dan salah satunya yang akan datang ialah daripada Singapura.

"Bayaran perubatan di Singapura sangat tinggi, di sini (Sarawak) kita gunakan mata wang ringgit.

"Jika mereka buka cawangan hospital di sini, ramai klien mereka dari Indonesia yang berjiran dengan Sarawak akan datang bagi mendapatkan rawatan.

“Nusantara dijangka akan menghimpunkan lebih 30 juta populasi dan kedudukannya yang hampir dengan Kuching memungkinkan kita untuk memperluaskan jaringan ART (Autonomous Rail Transit) sehingga ke Pontianak, dan kita sedang melihat perkara ini,” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dan National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM) di Kuching pada Isnin (28 Mac).

Tambah Abang Johari, keupayaan dan komitmen Sarawak menjalankan kajian biodiversiti serta menubuhkan pusat penyelidikan perubatan antara mekanisme penting bagi menyuburkan pelancongan kesihatan di Sarawak.

“Kekayaan sumber biodiversiti mendorong kita untuk melaksanakan penyelidikan perubatan merangkumi penyakit berjangkit, juga penghasilan vaksin, namun ia mesti dilakukan oleh pakar, jadi kita bekerjasama dengan Singapura dan Universiti John Hopkins.

“Jadi kita bina sebuah makmal penyelidikan bernilai RM200 juta (S$64.52 juta) di Samarahan dan kajian akan melibatkan pakar dari Singapura, Amerika Syarikat menerusi Universiti John Hopkins yang akan membantu dalam mendapatkan akreditasi antarabangsa dalam penyelidikan,” katanya.

Sehingga kini, Sarawak memiliki sekurang-kurangnya 11 hospital swasta yang majoritinya beroperasi di bahagian Kuching, Miri dan Sibu.

Sebelum ini Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) melaporkan bahawa pelancongan perubatan telah menyumbang sebanyak RM1.7 bilion (S$550 juta) pada 2019.

Sumber : Agensi berita/AW/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan