Skip to main content

Dunia

SPRM usaha bawa pulang lagi 8 karya seni dipercayai terkait 1MDB pada akhir 2026

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses mendapatkan semula lapan lagi karya seni yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggarkan lebih RM120 juta (S$38.5 juta) pada hujung tahun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM usaha bawa pulang lagi 8 karya seni dipercayai terkait 1MDB pada akhir 2026

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dengan empat karya seni, dikaitkan dengan penyelewangan dana 1MDB, yang berjaya dipulihkan. (Gambar: BERNAMA)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses mendapatkan semula lapan lagi karya seni yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggarkan lebih RM120 juta (S$38.5 juta) pada hujung tahun ini. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya sudah mengenal pasti 12 karya seni untuk dibawa pulang ke Malaysia, dengan empat daripadanya berjaya diperoleh semula.

Beliau berkata antara karya seni yang masih dalam proses pemulangan ialah hasil karya Henri Matisse bernilai AS$52,500 (S$66,727.50); Alexander Calder bernilai AS$125,000 (S$158,875); Pablo Picasso bernilai AS$1.26 juta (S$1.6 juta); William H. Bailey bernilai AS$66,250 (S$84,200)serta Raoul Dufy bernilai AS$40,000 (S$50,840), manakala nilai karya Salvador Dalí dan Gustave Loiseau masih dalam proses pengesahan.

“Secara keseluruhan, nilai lukisan yang masih dalam proses pemulihan dianggarkan AS$1.7 juta (S$2.16 juta).

“SPRM juga sedang giat berusaha untuk membawa pulang hasil jualan sebuah lukisan oleh Claude Monet bertajuk 'Vétheuil au Soleil' yang telah dijual di Switzerland dengan nilai anggaran 25.2 juta euro (S$37.5 juta), atau kira-kira RM114 juta,” katanya pada sidang media berhubung pemulangan karya seni berkaitan 1MDB pada Rabu.

Encik Azam berkata dana berkenaan kini tertakluk kepada prosiding penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, dan usaha pemulihan terus dipergiat melalui saluran perundangan serta kerjasama dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Switzerland.

Beliau berkata kejayaan mendapatkan semula karya seni berkenaan merupakan sebahagian daripada pencapaian lebih besar Malaysia dalam usaha pemulihan aset 1MDB.

SPRM sebelum ini, katanya, berjaya membawa pulang empat karya seni antarabangsa yang dibeli menggunakan dana 1MDB menerusi rumah lelong Sotheby’s di New York pada 14 April lalu.

“Semua karya seni ini dikesan melalui transaksi di rumah lelong bertaraf dunia seperti Christie’s dan Sotheby’s di New York, dan berjaya diperoleh semula melalui proses perundangan serta kerjasama strategik antarabangsa membabitkan agensi seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (USDOJ).

“Karya-karya ini tidak dirampas secara fizikal, sebaliknya diserahkan melalui proses sah di sisi undang-undang termasuk pelaksanaan Surat Kuasa Wakil (POA) oleh USDOJ kepada SPRM menerusi Jabatan Peguam Negara.

“Ini membuktikan bahawa pendekatan pemulihan aset dibuat berdasarkan proses perundangan dan diplomatik yang teliti,” katanya.

Encik Azam berkata empat karya seni yang dibawa pulang, dengan nilai dianggarkan AS$198,125 (S$251,820) akan diserahkan kepada Balai Seni Negara dalam masa terdekat.

Empat karya seni itu ialah karya oleh Joan Miró bertajuk "Composition" (1953) dengan nilai pembelian AS$93,750 (S$119,160) dan karya Maurice Utrillo bertajuk "Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre" (1934) bernilai AS$50,000 (S$63,550).

Karya lain termasuklah hasil seni Balthus bertajuk "Étude pour femme couchée" (1948) bernilai AS$28,125 (S$35,750) dan karya Pablo Picasso bertajuk "L’Ecuyère et les clowns" (1961) dengan nilai AS$26,250 (S$33,360). 

Encik Azam berkata semua lukisan berkenaan melalui proses pengangkutan yang ketat dan teratur bermula di New York pada 8 April sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10 April lalu.

"Karya itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di bawah kawalan keselamatan tinggi melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Balai Seni Negara dan petugas logistik,” katanya.

Mengulas sama ada karya seni berkenaan akan dijual, Encik Azam berkata perkara itu akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Sumber : Bernama/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita