Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

SPRM tumpu siasatan kenal pasti aset diperoleh FashionValet

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM tumpu siasatan kenal pasti aset diperoleh FashionValet

Kedai Fashionvalet di Pavillion, Kuala Lumpur. (Gambar: Instagram Fashionvalet)

Diterbitkan : 09 Nov 2024 09:17AM Dikemas Kini : 09 Nov 2024 09:21AM
PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini menjurus ke arah mengenal pasti aset dan pemilikan serta sumber kewangan yang diperoleh oleh pasangan pengasas platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata fokus siasatan juga melihat kepada cara syarikat terbabit membelanjakan wang pelaburan diterima daripada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
"...(siasatan) untuk melihat cara wang (pelaburan) itu dibelanjakan, adakah perbelanjaan itu betul (proper) atau tidak, adakah melanggar undang-undang.

"Jadi aset-aset kita cakap semalam yang dikenal pasti, dia (pengasas) perlu memberi penjelasan daripada mana perolehannya dan bagaimana (dibelanjakan)," katanya ketika dihubungi pada Jumaat (8 Nov).

Beliau berkata kira-kira 60 kotak dokumen kewangan yang dirampas daripada FashionValet, Khazanah dan PNB pada Khamis, perlu dikaji secara menyeluruh terutama berkaitan perjanjian antara ketiga-tiga syarikat itu.

Menurut Encik Azam, pegawai penyiasat mempersoalkan pasangan itu tentang perkara berbangkit susulan semakan dokumen, akaun dan pelaburan yang masuk ke FashionValet seperti isu melibatkan harta, aset dan sebagainya.

"Saya jangka pegawai penyiasat akan memanggil mereka kembali ke pejabat untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan serbuan lain akan dilakukan sekiranya perlu.

"Siasatan akan ambil masa sebab melibatkan isu akaun, keputusan berkaitan korporat dan ini ambil masa sedikit. Saya rasa tidak dapat siap dalam tempoh terdekat," katanya.

Ditanya sama ada pasangan itu akan ditahan, Encik Azam berkata keputusan untuk menahan mereka bergantung kepada pegawai penyiasat bagi memutuskan sebarang tindakan yang bersesuaian.

Menurutnya, siasatan dilakukan terhadap prestasi dan keuntungan FashionValet pada 2018 hingga 2023 termasuk persoalan sama ada syarikat itu mengalami kerugian atau sebaliknya, selain turut melihat kepada tindakan Khazanah dan PNB sama ada mereka mengetahui berlaku kerugian membabitkan syarikat tersebut.

Pada 2 November lalu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta (S$13.3 juta) dalam FashionValet Sdn Bhd.

Susulan itu, Encik Azam dilaporkan berkata SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan tersebut.

Pada Khamis, Encik Azam berkata SPRM mengesan beberapa transaksi mencurigakan dalam kes kerugian dialami Khazanah dan PNB dalam pelaburan FashionValet yang dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu setelah menganalisis 60 kotak dokumen kewangan yang dirampas daripada ketiga-tiga syarikat itu.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan