Skip to main content

Dunia

SPRM tubuh pasukan khas teliti laporan siasatan Tabung Haji

Anggaran Waktu Membaca:
 SPRM tubuh pasukan khas teliti laporan siasatan Tabung Haji
SPRM memaklumkan tuduhan itu tidak berasas dan dipercayai berpunca daripada sebuah blog online tanpa identiti pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas. (Gambar fail: Bernama)
Diterbitkan : 30 Jul 2026 08:45PM Dikemas Kini : 30 Jul 2026 08:47PM
  • SPRM menubuhkan pasukan khas diketuai Mohd Hafaz Nazar bagi menyemak Laporan RCI mengenai pengurusan Tabung Haji yang didedahkan pada 29 Julai.
  • Pasukan ini akan meneliti isu rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram mengikut undang-undang berkaitan.
  • Laporan RCI mencadangkan audit forensik terhadap pelaburan bermasalah Tabung Haji antara 2014 hingga 2020 selepas mendapati urus niaga mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
  • SPRM menegaskan komitmen terhadap integriti dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan kepada umum pada Rabu (29 Jul).

SPRM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, pasukan itu diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Mohd Hafaz Nazar.

Menurut SPRM, pasukan itu akan meneliti sebarang isu perundangan melibatkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram mengikut Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) atau kesalahan yang berkaitan.

“SPRM komited untuk memastikan setiap isu dibangkitkan melalui laporan itu diteliti dengan sewajarnya dan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terlibat.

“Adalah ditegaskan SPRM sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab selaras dengan usaha berterusan memperkukuh tadbir urus negara tanpa campur tangan mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut mengharapkan kerjasama daripada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai apa jua isu sehingga siasatan dapat dilengkapkan sepenuhnya.

Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Rabu antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH daripada 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

RCI berkenaan mendapati wujudnya urus niaga yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita