Skip to main content

Dunia

SPRM tingkat kepakaran forensik digital tangani ancaman 'deepfake', AI

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh keupayaan forensik digital menerusi penyertaan dalam kursus Amped Authenticate bertaraf antarabangsa di Trieste, Itali sebagai persediaan menghadapi cabaran jenayah siber dan manipulasi bukti digital yang semakin kompleks.

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM tingkat kepakaran forensik digital tangani ancaman 'deepfake', AI
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memperkukuhkan keupayaan forensiknya agar ia mampu menangani ancaman yang ditimbulkan kecerdasan buatan (AI). (Gambar fail: Bernama)
Diterbitkan : 04 Aug 2026 10:27PM
  • SPRM melalui Bahagian Forensik Teknologi menyertai kursus Amped Authenticate di Trieste, Itali dari 28 hingga 31 Julai untuk memperkukuh keupayaan forensik digital.
  • Kursus ini melibatkan latihan teknik forensik visual seperti analisis metadata, cap jari kamera, dan pengesanan deepfake bagi memastikan ketulenan bukti digital.
  • Penggunaan perisian Amped Authenticate yang mematuhi piawaian antarabangsa membantu BFT SPRM mengesahkan bukti secara saintifik dan telus di mahkamah.
  • Langkah ini diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan SPRM menghadapi jenayah siber, melindungi integriti siasatan serta memastikan keadilan terjamin.
Dijana oleh AI
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh keupayaan forensik digital menerusi penyertaan dalam kursus Amped Authenticate bertaraf antarabangsa di Trieste, Itali sebagai persediaan menghadapi cabaran jenayah siber dan manipulasi bukti digital yang semakin kompleks.

SPRM memaklumkan inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) dalam mengesan, menganalisis dan mengesahkan ketulenan barang kes berbentuk imej, audio dan rakaman video yang disyaki telah diubah suai, dimanipulasi atau dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan 'deepfake'.

"Latihan berimpak tinggi ini fokus kepada pelbagai teknik forensik visual termasuk analisis metadata, cap jari kamera, pengesanan suntingan imej, penilaian ketekalan fizikal dam kaedah pengesanan 'deepfake' bagi memastikan setiap bukti digital yang dikemukakan mempunyai tahap ketulenan tinggi dan mampu menyokong keterangan pakar di mahkamah," menurut SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa (4 Ogos).

Menurut SPRM, bagi menangani ancaman teknologi AI generatif yang berupaya meningkatkan risiko pemalsuan bahan bukti digital, BFT SPRM mengaplikasikan teknik forensik seperti analisis Photo Response Non-Uniformity (PRNU), JPEG Dimples, Shadows & Reflections, dan pengesanan 'deepfake' bagi mengenal pasti secara saintifik sama ada sesuatu bahan bukti adalah asli atau telah dimanipulasikan.

Sementara itu, laporan analisis yang dijana menerusi perisian Amped Authenticate turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mematuhi standard ISO/IEC 17025 bagi makmal forensik.

Menurut SPRM, setiap analisis yang dijalankan adalah berdasarkan prinsip saintifik yang kukuh termasuk statistik PCE (Peak-to-Correlation Energy) untuk PRNU, analisis kuantisasi JPEG, serta geometri bayangan dan pantulan sekali gus menjamin bukti yang dikemukakan adalah tulen, sah dan tidak boleh dipertikaikan.

Menerusi latihan itu juga, para pegawai forensik SPRM berupaya memberikan keterangan pakar di mahkamah berasaskan metodologi saintifik, telus, dan kukuh mengikut peruntukan Akta Keterangan 1950 (Akta 56).

"Langkah proaktif ini dijangka meningkatkan kesiapsiagaan BFT SPRM dalam mengendalikan kes-kes kompleks yang melibatkan bukti digital, di samping memperkukuh integriti proses siasatan dan pendakwaan serta melindungi kepentingan awam daripada sebarang cubaan manipulasi bukti yang boleh menjejaskan keadilan," menurut suruhanjaya tersebut.

Kursus selama empat hari bermula 28 hingga 31 Julai itu dihadiri Pengarah BFT SPRM Wan Zulkifli Wan Jusoh, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya Mohd Shahril Che Saad serta dua pegawai BFT iaitu Dr Syah Reezal Md Bashah dan Muhamad Khairi Mohamad Dain.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita