Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

SPRM temui 3 ahli parlimen DAP berhubung tawaran rasuah sokong kerajaan Perikatan Nasional

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertemu dengan tiga Ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM temui 3 ahli parlimen DAP berhubung tawaran rasuah sokong kerajaan Perikatan Nasional

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Aug 2021 02:24PM Dikemas Kini : 09 Aug 2021 02:34PM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertemu dengan tiga Ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

SPRM dalam satu kenyataan hari ini (9 Ogos) berkata pihaknya memandang serius mengenai dakwaan beberapa Ahli Parlimen DAP ditawarkan rasuah oleh sesetengah pihak untuk menyokong kerajaan PN.

Menurut laporan media, beberapa Ahli Parlimen DAP mendakwa menerima tawaran rasuah berunsur wang dan jawatan menerusi mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor telefon tidak dikenali.

Antara yang dilaporkan menerima mesej berkenaan ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, Ahli Parlimen Ipoh Utara Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata polis sudah menghantar laporan yang diterima daripada setiausaha sulit Ahli Parlimen Ipoh Barat berkaitan mesej yang disyaki berunsur rasuah melalui dua nombor telefon yang tidak dikenali kepada SPRM.

“Sehingga kini, SPRM sudah menemui tiga ahli parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan tersebut," kata suruhanjaya itu tanpa mendedahkan identiti wakil rakyat berkenaan.

SPRM berkata setakat ini ia tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada ahli-ahli parlimen berkenaan.

"Bagaimanapun, SPRM memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini," katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan