Skip to main content

Dunia

SPRM siasat surat sokong Ahmad Zahid sebagai PM M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM siasat surat sokong Ahmad Zahid sebagai PM M'sia

Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki. (Gambar fail: Bernama)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung penularan surat yang dikatakan aku janji calon UMNO untuk menyokong presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri, yang tular.

Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata SPRM ada menerima laporan berhubung penularan surat aku janji berkenaan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

"Kami buka kertas siasatan berhubung perkara ini kerana ia merupakan satu kesalahan salah guna kuasa, dikatakan ada calon pilihan raya ini dipaksa tandatangan untuk menyokong seseorang menjadi Perdana Menteri," katanya kepada agensi berita Bernama pada Khamis (3 Nov).

Tular aku janji dengan kepala surat UMNO yang memaparkan tandatangan Ahmad Zahid dan Setiausaha Agung, Ahmad Maslan, yang antara lain menyatakan ikrar calon UMNO dan Barisan Nasional yang menang pada PRU15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai perdana menteri.

Encik Azam berkata SPRM akan memanggil pihak yang berkaitan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Beliau berkata antara yang akan dipanggil adalah Dr Shamsul Anuar Nasarah yang namanya disebut dalam aku janji itu.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Shamsul Anuar, yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN Comms), Azizan Md Zain membuat laporan polis di ibu pejabat polis Dang Wangi pada Khamis berhubung penularan surat yang dikatakan aku janji itu.

Encik Azizan berkata pihak polis diminta menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes berkenaan kerana surat aku janji itu adalah palsu.

Pasukan undang-undang BN Comms pula membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung penularan surat aku janji itu secara online pada Khamis.

Setiausaha BN Comms Dazma Shah Daud berkata sebarang penyebaran maklumat BN hanya akan dikeluarkan melalui platform rasmi BN, BN Comms dan UMNO Online.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita